KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini akan menyemak keputusan Mahkamah Majistret Selayang yang mengenakan denda RM5,000 terhadap seorang lelaki kerana menetak bahagian kepala dan tangan kiri seorang peguam menggunakan parang berhubung isu pemakaian pelitup muka, minggu lalu.
Pendengaran semakan yang dijadualkan berlangsung di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bagaimanapun ditangguhkan selepas lelaki itu, M. Samasiveng, 57, tidak hadir ke mahkamah hari ini.
Seksyen 323 Kanun Tatacara Jenayah memberi kuasa kepada mahkamah tinggi untuk memanggil rekod prosiding mahkamah rendah dan menyemaknya. Hakim Collin turut mengarahkan pegawai penyiasat kes menjejaki lelaki tersebut dan menetapkan Jumaat ini untuk pengurusan kes.
Pegawai penyiasat perlu hadir pada hari tersebut bagi membolehkan beliau memaklumkan kepada mahkamah hasil usahanya mengesan lelaki berkenaan. Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Isa Mohamed memberitahu, pihak pendakwaan baru menerima notis semakan semalam dan gagal untuk menghubungi tertuduh supaya hadir hari ini.
Beliau berkata, Pejabat Pendakwaan Negeri Selangor telah mengeluarkan arahan agar kes itu dirayu dan notis rayuan telah difailkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam. Bagaimanapun, Hakim Collin menjelaskan beliau sendiri akan memanggil rekod prosiding Mahkamah Majistret Selayang untuk disemak.
Sementara itu, peguam T.P Aravind yang sebelum ini mewakili Samasiveng ketika prosiding di Mahkamah Majistret memberitahu, tertuduh gagal dihubungi manakala beliau tidak mendapat arahan untuk terus mewakili lelaki tersebut.
Pihaknya akan menghubungi tertuduh dan memaklumkan prosiding semakan itu.
Beliau turut menarik perhatian mahkamah bahawa pihak pembelaan mempunyai rakaman video yang memaparkan insiden yang berlaku bagi membantu Mahkamah Tinggi mendapat gambaran yang lebih jelas berhubung kejadian tersebut.
Pada 11 Mac lalu, Mahkamah Majistret Selayang mengenakan denda RM5,000 atau penjara 11 bulan terhadap Samasiveng kerana menetak bahagian kepala dan tangan kiri Gurcharan Singh, 60, menggunakan parang.
Samasiveng berbuat demikian kerana berang selepas peguam tersebut menegurnya kerana tidak memakai pelitup muka dan menghisap rokok semasa ingin memasuki sebuah pasar raya.
Majistret Nur Hafizah Rajuni menjatuhkan hukuman itu selepas dia mengaku bersalah mencederakan mangsa menggunakan sebilah parang yang mungkin menyebabkan kematian.
Kejadian berlaku di Taman Bersatu Rawang, Gombak di sini pada 12.45 tengah hari, 9 Mac lalu. Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau dengan denda atau sebat atau mana-mana dua daripada seksaan itu.
Mengikut fakta kes, pada hari kejadian peguam itu bersama kakaknya berada di bahagian kaunter di sebuah pasar raya untuk membuat bayaran. Mangsa kemudiannya menegur tertuduh yang ingin masuk ke dalam pasar raya tersebut kerana tidak memakai pelitup muka sambil menghisap rokok.
Selepas peguam tersebut keluar dari pasar raya, tertuduh memarahinya dan bertindak mengambil sebilah parang dari kereta dan menetak di bahagian kepala dan tangan kiri lelaki itu menyebabkkannya mengalami kecederaan dan menerima 14 jahitan. – UTUSAN