JOHOR BAHRU: Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) menafikan dakwaan bahawa berlaku pengambilan organ melibatkan pesakit Covid-19 yang telah meninggal dunia di Hospital Sultan Ismail (HSI), di sini.
Pengarahnya, Datuk Dr. Aman Rabu berkata, pesakit Covid-19 yang telah meninggal dunia diuruskan mengikut prosedur operasi standard (SOP) pengurusan kematian Covid Jabatan Perubatan Forensik HSI.
Katanya, siasatan dibuat juga mendapati tiada bukti kegiatan pengambilan organ dilakukan di hospital berkenaan.
“Malahan tiada Pegawai Perubatan daripada Jabatan Perubatan Forensik HSI yang meletak jawatan seperti yang didakwa. Kami tidak dapat menjalankan siasatan terperinci disebabkan maklumat yang tidak lengkap.
“Untuk makluman, organ dan tisu individu yang meninggal dunia akibat jangkitan Covid-19 tidak boleh didermakan. Pendermaan organ dan tisu kardaverik (selepas kematian) hanya boleh dilaksanakan apabila mendapat kebenaran waris secara bertulis mengikut Akta Tisu Manusia 1974 (Akta 130),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sebelum ini, tular di media sosial menerusi satu hantaran Facebook atas akaun bernama Sakinah Sulong yang memuat naik satu kenyataan tangkap layar oleh pengguna media sosial menyatakan terdapat pengambilan organ pesakit Covid-19 yang telah meninggal dunia di HSI.
Jelas Dr. Aman, dakwaan itu tidak berasas dan orang awam diminta tidak menularkan sebarang maklumat yang tidak sahih agar tidak mencetuskan kebimbangan atau kekeliruan dalam kalangan masyarakat. – UTUSAN