PETALING JAYA: Penyanyi Indonesia, Cita Citata meluahkan rasa berang selepas pihak pengurusannya dikatakan meminta dia untuk membuat persembahan ketika dirinya masih kuarantin akibat positif Covid-19.
Dakwaan dikongsikan penyanyi lagu popular Goyang Dumang itu menerusi entri Instagram miliknya.
Cita juga meluahkan rasa kecewa berhubung isu berkenaan mendakw pihak terbabit tidak mementingkan dan peka mengenai tahap keselamatan para penonton yang hadir.
“Pada 24 Februari saya disahkan positif Covid-19. Pada 26 Februari pula, saya sepatutnya ada jadual membuat persembahan.
“Pihak pengurusan mahu saya membuat persembahan dalam keadaan sedang positif. Saya tidak boleh membayangkan betapa bahayanya kerana boleh menyebarkan virus ini.
“Apa lagi jika ada yang mengidap penyakit kronik dan dijangkiti gara-gara saya. Pihak pengurusan juga mengancam untuk tidak membayar wang produksi persembahan saya jika tidak hadir ketika itu,” dakwanya.
Mengulas lanjut, penyanyi lagu Sakitnya Tuh Disini itu juga memberitahu dia sudah memutuskan untuk menarik diri daripada pengurusan berkenaan.
“Saya boleh mendapatkan rezeki yang datang dari mana sahaja. Tetapi ini melibatkan nyawa orang!
“Akhirnya saya memutuskan untuk keluar dari pengurusan yang katanya sudah selalu dan biasa menangani penyanyi-penyanyi kelas atas. Sungguh sangat mengecewakan!
“Untuk pengurusan artis lain, ini pesan saya sebagai penyanyi. Boleh professional tetapi harus guna akal. Kini nombor telefon pengurus saya hanya satu iaitu seperti yang tertera di Instagram,” dakwanya.
Dalam pada itu, dia juga memaklumkan coretan berkenaan bukan niat untuk menjatuhkan pihak berkenaan tetapi hanya sekadar berkongsi pengalaman sebagai penyanyi yang sering kali menerima gosip liar yang tidak berasas.
Pemerhatian Utusan Malaysia mendapati, ruangan komen berkenaan dibanjiri pelbagai reaksi para peminatnya selain mendoakan penyanyi tersebut diberikan kesembuhan seperti sedia kala.