Dadah: Siapa pun terlibat, polis tangkap - Ayob Khan

Dadah: Siapa pun terlibat, polis tangkap – Ayob Khan

KERATAN laporan Utusan Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Ahli politik, selebriti, pensyarah atau guru tidak terkecuali dalam penyalahgunaan dadah, justeru orang ramai tidak perlu terlalu obses dengan laporan penangkapan seorang bekas penyanyi kumpulan nasyid kerana menanam ganja di rumahnya.

Ini kerana, penglibatan selebriti dalam penyalahgunaan dadah bukan perkara baharu, malah sesiapa sahaja boleh ditangkap dan dikenakan tindakan sekiranya terlibat dalam jenayah terbabit.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, tangkapan dan siasatan polis terhadap mereka yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah tanpa mengira tanpa mengira latar belakangnya.

“Saya tidak mahu mengulas tentang suspek, tetapi yang pasti saya tegaskan PDRM dan JSJN khususnya kita tidak akan bertolak ansur, mana-mana individu yang terlibat dalam aktiviti dadah, pasti kita akan tangkap.

“Dadah ini, penglibatan dalam kalangan artis bukan perkara baharu, cuma jangan terlalu fokus pada artis sahaja, semua orang terlibat. Tengok background yang kita pernah tangkap, ada penjawat awam, cikgu, pensyarah, artis dan ahli politik,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini.

Beliau menambah, polis  menyedari berlaku peningkatan terhadap rampasan dadah jenis ganja sejak kebelakangan ini yang mana kebanyakannya diseludup masuk dari negara luar.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, seorang penyanyi nasyid yang juga komposer terkenal yang ditahan polis pada Jumaat lalu akibat menanam ganja di rumahnya di Kota Damansara dipercayai terlibat dengan penagihan dadah sejak 10 tahun lalu. 

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, hasil ujian saringan awal suspek mendapati dia positif ganja. 

Menurut beliau, berdasarkan pengakuan suspek, pokok itu ditanam untuk kegunaan sendiri.


AYOB KHAN MYDIN PITCHAY

Dalam pada itu, Ayob Khan menjelaskan, laporan siasatan terhadap individu yang terlibat dadah pasti dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk dirujuk dan dituduh di mahkamah apabila cukup bukti.

“Tak kiralah siapa latar belakangnya. Dia ustaz, tok guru, orang politik, penjawat awam ke, terlibat (dengan dadah) kita akan tangkap, buka kertas siasatan dan hantar kepada pihak Jabatan Peguam Negara.

“Peguam Negara akan lihat, cukup atau tidak bukti-bukti untuk dituduh, jadi di peringkat kita, akan dilakukan siasatan lengkap,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya