PUTRAJAYA: Malaysia semalam mencatatkan peningkatan semula jangkitan positif Covid-19 apabila merekodkan sebanyak 15,941 kes berbanding kelmarin, 15,215 kes sekali gus terus diatasi 21,186 kes sembuh.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pesakit Covid-19 yang memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) semalam turut merekodkan penurunan kepada 275 kes berbanding kelmarin, 282 kes.
Katanya, jumlah pesakit Covid-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan juga merekodkan penurunan kepada 168 kes berbanding kelmarin, 176 kes.
“Bagi kluster Covid-19 pula, hanya satu kluster baharu direkodkan berbanding kelmarin, dua kluster sekali gus menjadikan jumlah kluster terkumpul sejak pandemik melanda negara iaitu 6,932 kluster.
“Kluster aktif Covid-19 menurun kepada 207 kluster berbanding kelmarin, 214 kluster manakala jumlah kluster yang tamat sebanyak 6,725 kluster,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Noor Hisham berkata, sebanyak 108 kes daripada 15,941 kes positif Covid-19 hari ini, adalah kategori tiga, empat dan lima.
Katanya, baki kes harian, 15,833 kes adalah terdiri daripada kategori satu dan dua.
“Bagi 108 kes kategori tiga, empat dan lima, 26 kes (24.07 peratus) tidak divaksinasi atau belum lengkap divaksinasi; 45 kes (41.67 peratus) telah menerima dua dos vaksin Covid-19 tetapi belum menerima dos penggalak dan 37 kes (34.26 peratus) telah menerima dos penggalak.
“Selain itu, 57 kes (52.78 peratus) berumur 60 tahun dan ke atas dan 63 kes (58.33 peratus) mempunyai komorbid,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan kematian, kes yang dilaporkan menurun dengan jumlah sebanyak 33 kes berbanding semalam, 64 kes.
Rekod terbabit adalah setakat pukul 10 pagi ini berdasarkan maklumat dikemas kini melalui laman web, https://covidnow.moh.gov.my menjadikan keseluruhan kes terkini sebanyak 34,939 kes.
Bagi kes kematian yang dibawa ke hospital (BID), sebanyak 11 daripada 33 kes direkodkan yang menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 7,373 kes. – UTUSAN