PUTRAJAYA: Malaysia mencatatkan penurunan kes positif Covid-19 semalam apabila merekodkan sebanyak 27,435 kes positif berbanding kelmarin, 33,406 kes sekali gus mengatasi 30,335 kes sembuh.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pesakit Covid-19 yang memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) semalam, merekodkan peningkatan, 379 kes berbanding kelmarin, 371 kes.
Katanya, jumlah pesakit Covid-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan turut merekodkan penurunan kepada 216 kes berbanding kelmarin, 226 kes.
“Bagi kluster Covid-19 baharu pula merekodkan penurunan kepada empat kluster berbanding kelmarin, 11 kluster sekali gus menjadikan jumlah kluster terkumpul sejak pandemik melanda negara iaitu 6,841 kluster.
“Kluster aktif Covid-19 dengan jumlah terkini menurun kepada 454 kluster berbanding kelmarin, 474 kluster manakala jumlah kluster yang telah tamat sebanyak 6,387 kluster,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Noor Hisham berkata, sebanyak 184 kes daripada 27,435 kes positif Covid-19 hari ini, adalah kategori tiga, empat dan lima.
Katanya, baki kes harian, 27,251 kes adalah terdiri daripada kategori satu dan dua.
“Bagi 214 kes kategori tiga, empat dan lima, 55 kes atau 29.89 peratus tidak divaksinasi atau belum lengkap divaksinasi;85 kes atau 46.20 peratus telah menerima dua dos vaksin Covid-19 tetapi belum menerima dos penggalak dan 44 kes atau 23.91 peratus telah menerima dos penggalak.
“Selain itu, 98 kes atau 53.26 peratus berumur 60 tahun dan ke atas; 64 kes atau 34.78 peratus mempunyai komorbid dan tiga kes atau1.63 peratus kes adalah kes ibu mengandung,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan kematian, jumlah kematian yang dilaporkan menurun sebanyak 55 kes berbanding semalam, 67 kes.
Rekod terbabit adalah setakat pukul 10 pagi, hari ini berdasarkan maklumat dikemas kini melalui laman web, https://covidnow.moh.gov.my menjadikan keseluruhan kes terkini sebanyak 33,228 kes.
Bagi kes kematian yang dibawa ke hospital (BID), sebanyak 16 daripada 55 kes direkodkan yang menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 6,869 kes. – UTUSAN