KUALA LUMPUR: Sebanyak dua juta Pakej Penjagaan Covid-19 (PPC) Keluarga Malaysia telah diagihkan kepada 57 peratus keluarga B40 di seluruh negara.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, pakej itu mengandungi kid ujian kendiri, pelitup muka, oximeter dan juga termometer untuk memeriksa suhu.
“Setakat ini, kerajaan telah edarkan dua juta PPC kepada 57 peratus keluarga B40. Yang lain (belum terima) akan terima selepas,” katanya dalam sidang akhbar di bangunan Parlimen hari ini.
Pada September lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan memperuntukkan lebih RM471.6 juta bagi tujuan pemberian PPC kepada Keluarga Malaysia kategori B40.
Menurut Perdana Menteri, usaha tersebut antara lain bertujuan meringankan beban kewangan perbelanjaan isi rumah B40.
Mengulas perkembangan vaksinasi ketika ini, Khairy berkata, sehingga 7 Mac 2022, kadar vaksinasi lengkap bagi populasi dewasa di dalam negara ialah 98.7 peratus, manakala kadar vaksinasi dos penggalak bagi populasi dewasa ialah 64 peratus.
“Kadar vaksinasi yang tinggi serta ciri varian Omicron yang didapati lebih ringan terhadap mereka yang telah lengkap vaksinasi dan telah menerima dos penggalak merupakan faktor utama yang membantu kerajaan memutuskan agar kita beransur-ansur melonggarkan sekatan yang telah dikenakan ke atas kehidupan seharian,” katanya.
Dalam pada itu katanya, kadar penggunaan kadar penggunaan katil bukan kritikal untuk kes Covid-19 semalam, termasuk kes yang disyaki adalah sebanyak 69 peratus manakala, penggunaan katil ICU bagi kes Covid-19 adalah 42 peratus dan kadar penggunaan ventilator untuk pesakit adalah 25 peratus. – UTUSAN