KUALA TERENGGANU: Sebanyak 16 pusat pemindahan sementara (PPS) khas dibuka di negeri ini untuk mangsa-mangsa banjir yang dijangkiti Covid-19 dan kontak rapat.
Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Kasemani Embong berkata, daripada jumlah itu, empat PPS di daerah ini diikuti Kemaman (tiga), Besut (tiga), Hulu Terengganu (dua), Dungun (dua) dan Kuala Nerus (dua).
Katanya, seramai 49 individu yang positif Covid-19 di samping 78 kontak rapat ditempatkan di kesemua PPS berkenaan.
“Bagaimanapun, kesemua mereka hanya berada dalam kategori satu dan keadaan kesihatan mereka sentiasa dipantau dari semasa ke semasa,” katanya hari ini.
Kasemani berkata, sehingga kini tiada kluster PPS dilaporkan sekali gus berharap semua pihak dapat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
Sementara itu, katanya, seramai 680 petugas kesihatan digerakkan untuk membantu mangsa banjir di semua PPS di seluruh negeri bagi memastikan mereka bebas daripada sebarang penyakit berjangkit bawaan air di samping memantau tahap kesihatan pesakit yang dipindahkan. – UTUSAN