CIDB arah tapak binaan henti kerja serta-merta

CIDB arah tapak binaan henti kerja serta-merta

PENGUAT kuasa CIBD memeriksa dokumen pekerja di salah sebuah tapak binaan di Kota Kinabalu hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Kegagalan sebahagian pekerja binaan mengemukakan perakuan pekerja mahir daripada Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) menyebabkan sebuah tapak pembinaan diarah tutup atau berhenti kerja serta-merta.

Pengarah CIDB Sabah, Rosmen Ag Hassan berkata, daripada 325 orang pekerja yang diperiksa, hanya 46 orang mempunyai perakuan pekerja mahir manakala, selebihnya masih belum dikenal pasti.

ROSMEN AG HASSAN

Maka, CIDB telah mengeluarkan notis bagi mengarahkan kontraktor hadir ke pejabat CIBD untuk mengemukakan dokumen dan maklumat pekerja yang diperlukan dalam tempoh tujuh hari. Dalam operasi itu, sebanyak satu kontraktor utama dan 17 sub-kontraktor diperiksa.

“Bagi penguatkuasaan akreditasi atau perakuan pekerja mahir ini, pekerja binaan yang tidak mempunyai perakuan boleh dikenakan denda maksimum RM5,000 bagi setiap pekerja mengikut Seksyen 33A(1), Akta 520 Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (LPIPM),” katanya semasa Operasi Bersepadu CIDB hari ini.

Dalam operasi tersebut, empat notis dikeluarkan oleh CIDB kepada kontraktor iaitu notis meminta maklumat, notis arahan hadir, notis kesalahan akreditasi dan notis pemberhentian kerja.

Di samping itu, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) turut memberi amaran lisan mengenai pengurusan sampah di tapak dan kelengkapan keselamatan pekerja manakala, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) turut memberi amaran lisan (Akta 154) Akta Pemusnah Serangga Pembawa Penyakit 1975.

Mengulas lanjut katanya, pihaknya turut memeriksa bahan binaan yang dipercayai tidak mematuhi perakuan pematuhan standard (PPS) mengikut Seksyen 33D (1). Pemeriksaan yang lebih terperinci akan dilakukan bagi melakukan siasatan lanjut mengenai bahan-bahan binaan yang digunakan.

Sekiranya kontraktor tersebut didapati menggunakan bahan yang tidak diperakukan maka, kompaun sehingga RM500,000 boleh dikenakan.

Jelas beliau, operasi penguatkuasaan hari ini memberi fokus kepada pematuhan kontraktor mengikut Akta 520 LPIPM di bawah lima skop iaitu pendaftaran kontraktor (Seksyen 25), akreditasi (Seksyen 33A(1), pengenaan levi (Seksyen 34), personel binaan (Seksyen 33) dan bahan binaan (Seksyen 33D(1).

Rosmen berkata, sejak Mac 2020 hingga hari ini, sebanyak 4,665 pemeriksaan tapak projek telah dilakukan oleh CIDB di seluruh Sabah dan untuk tahun ini sahaja, 78 pemeriksaan tapak telah dilakukan.

Secara keseluruhan, semua tapak pembinaan dan kontraktor mematuhi prosedur operasi standard (SOP) di tapak bina. Setakat ini, sebanyak 12824 kontraktor berdaftar dengan CIDB di Sabah.

“Pemain-pemain industri diingatkan untuk mematuhi kesemua peraturan dan undang-undang yang termaktub di bawah Akta 520 LPIPM dan peraturan di bawah agensi-agensi lain untuk pembangunan industri pembinaan yang lebih mampan,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya