PETALING JAYA: Penyanyi, Nabila Razali kini tampil dengan novel terbaharu berjudul Kerana Cinta Itu Ada yang mengabdikan kisah cinta silamnya.
Menurut penyanyi lagu Putus itu, kisah cinta yang tidak kesampaian itu baginya adalah pengalaman yang pahit dan masih dirasai sehingga kini.
“Cerita putus cinta ini sudah lama, sebelum saya menjadi anak seni lagi. Kami sempat bercinta dalan setahun.
“Kami putus kerana orang ketiga dan akhirnya saya ditinggalkan tanpa berita. Tidak tahu adakah hubungan itu masih berterusan atau sudah tiada lagi.
“Kini, masing-masing sudah pun ‘move on’. Luka mungkin sudah hilang cuma parut itu masih ada. Perasaan dendam itu sudah tiada tetapi jika minta duduk semeja, belum boleh lagi,” tuturnya ketika ditemui di majlis pelancaran novel Kerana Cinta Itu Ada, semalam.
Mengulas lanjut, sebanyak 50 peratus perjalanan kisah dalam novel itu mempunyai kaitan dengan dirinya.
“Saya pasti setiap orang ada kisah cinta masing-masing dan pembaca boleh kaitkan dengan kisah mereka.
“Saya kongsikan pengalaman ini supaya bila orang lain membaca, mereka juga dapat pengalaman yang sama. Setiap orang ada cerita yang mungkin sama dan diharapkan dapat memberi semangat kepada mereka untuk terus bangkit.
“Cuma, watak dan jalan cerita ini diubah mengikut kesesuaian supaya lebih menarik untuk pembaca,” ujarnya panjang.
Sekadar informasi, novel Kerana Cinta Itu Ada yang merupakan kesinambungan daripada lagu Putus ini ditulis oleh novelis popular, Sophilea.
Nabila juga ada merancang untuk mengadaptasi karya tersebut kepada sebuah drama, selepas ini.
Novel tersebut boleh didapati secara atas talian bermula 14 Mac dengan harga RM 35 bagi semenanjung Malaysia dan RM 38 di Sabah dan Sarawak.