Ceramah Anwar tegang, diberi amaran pegawai kesihatan

Ceramah Anwar tegang, diberi amaran pegawai kesihatan

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Satu sesi ceramah yang dihadiri Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tegang seketika apabila seorang pegawai kesihatan cuba memberi amaran kepada pemimpin politik itu untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) meluahkan kekecewaannya apabila ditegur kerana menanggalkan pelitup muka ketika hendak memulakan ucapannya. \\

Tegas beliau, pemakaian pelitup muka hanya diwajibkan apabila seseorang individu itu berada berhampiran dengan individu lain, sebaliknya apabila terdapat jarak yang mencukupi, boleh sahaja mereka membuka pelitup muka.

“Ketika berucap di dalam Parlimen, Speaker benarkan kami membuka pelitup muka untuk mendengar dengan jelas ucapan, tetapi mengapa di sini peraturannya lain. Selepas selesai ceramah ini, saya akan hantar mesej kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan bertanyakan undang-undang apakah ini.

“Undang-undang sedemikian hanya menyukarkan lagi perjalanan kempen dan ceramah khususnya ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ini,” jelasnya ketika berucap di Jalan Bakawali, di sini hari ini.

Tambah Ahli Parlimen Port Dickson itu, beliau mahu membuka pelitup muka hanya ketika berucap bagi membolehkan orang ramai mendengar dengan jelas mesej yang ingin disampaikan.

Tindakan itu mendapat sokongan daripada sekumpulan penyokongnya yang turut hadir sehingga mereka menjerit kepada pegawai kesihatan berkenaan. Salah seorang daripada hadirin turut mendakwa tindakan pegawai kesihatan itu tidak adil kerana hanya kempen pembangkang dikenakan tindakan tegas manakala kempen daripada parti kerajaan tidak.

Sementara itu, Anwar meminta penyokongnya tidak melepaskan ketidakpuasan hati mereka kepada pegawai kesihatan tersebut yang hanya hadir untuk menjalankan tugas seperti diarahkan.

“Jangan marah dia (pegawai kesihatan), dia hanya menjalankan tugas seperti diarahkan mengikut kepada SOP yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), namun undang-undang itu tidak adil,” jelasnya.

Selepas Ketua Pembangkang berkenaan meninggalkan lokasi ceramah, pegawai kesihatan terbabit bertindak memberikan amaran kepada penganjur acara untuk tidak mengulangi kesalahan sama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya