ARAU : Proses mencari ilmu tidak berakhir hanya setelah selesai bergraduasi, sebaliknya proses tersebut adalah sepanjang hayat.
Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah, usaha menuntut ilmu perlu diteruskan sama ada secara formal atau sebaliknya.
Baginda menyeru para graduan supaya terus berusaha mencari ilmu bagi memperkaya lagi pengetahuan dan jadikan budaya tersebut subur dalam diri masing-masing.
“Selain itu, bergraduasi bukan bermaksud hubungan antara bekas pelajar dengan institusi pendidikan berakhir. Graduan masih boleh menyumbang kepada institusi pendidikan melalui persatuan alumni.
“Para graduan boleh berkongsi pengalaman berkaitan pengurusan masa dan kewangan, pembentukan sahsiah diri dan watak mahupun bidang kerjaya sebagai panduan dan inspirasi kepada pelajar lain,” titah baginda ketika berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Konvokesyen Kali Ke-14 Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) Perlis di Dewan Harumanis PTSS Pauh Putra, di sini hari ini.
Berangkat mengiringi baginda Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail. Yang hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah Perancangan Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr. Zubaidah Aman dan Pengarah PTSS, Abdul Malek Hassan.
Seterusnya titah baginda, alumni boleh berperanan sebagai mentor khususnya dalam aspek pekerjaan di dalam industri dan membuka laluan kepada pelajar menjalani latihan industri atau menimba pengalaman bekerja di dalam organisasi mereka bekerja.
Tambah baginda, alumni PTSS perlu menanamkan niat dan azam untuk menyumbang secara langsung mahupun sebaliknya kepada institusi tersebut dengan cara dan skala yang pelbagai.
“Semoga pengalaman di PTSS ini menjadi kenangan terindah dalam hidup para graduan dan pastinya dirindui suatu hari nanti,” titah baginda.
Pada majlis tersebut, graduan Diploma Pengurusan Acara, Muhammad Nazmi Hakimi Mohd Eirman menjadi penerima Anugerah Diraja dan turut menerima RM2,000 daripada Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis. – UTUSAN