CAP persoal keputusan berbeza  ujian sendiri guna kit kendiri, calitan hidung

Covid-19: Keputusan berbeza ujian sendiri guna air liur dan calitan hidung

SARINGAN Covid-19 menggunakan kit ujian kendiri dan calitan hidung yang menunjukkan keputusan berbeza sekali gus menimbulkan keraguan berhubung keberkesanan langkah kerajaan meminta orang ramai melakukan ujian sendiri sekiranya bergejala.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mempersoal mengapa Kementerian Kesihatan (KKM) meminta masyarakat melakukan ujian sendiri Covid-19 ketika ramai yang mengadu kit ujian kendiri itu tidak sensitif.

Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, pihaknya dihubungi ramai pengguna yang menyuarakan kebimbangan mereka mengenai kaedah ujian air liur dan calitan hidung untuk mengesan Covid-19 dengan menggunakan kit ujian kendiri yang memberikan keputusan bercanggah.

Ujar beliau, menurut pengguna calitan hidung menunjukkan keputusan positif Covid-19 sementara ujian air liur menunjukkan keadaan sebaliknya.

“Mereka melakukan sendiri ujian itu berikutan ahli keluarga positif Covid-19 dengan bergejala sementara yang lain melakukannya kerana mereka juga mempunyai gejalanya. 

“Namun dalam kedua-dua kes, hasil ujian menunjukkan negatif palsu dalam ujian air liur,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Apa yang dibimbangkan tambah Mohideen, jika kit ujian kendiri kurang sensitif dengan memberikan hasil negatif  yang palsu, orang ramai mungkin beranggapan gejala yang dialami tiada kaitan dengan Covid-19.

Situasi itu jelasnya, mungkin menyebabkan orang ramai tidak menjalani kuarantin diri sedangkan sebenarnya positif Covid-19 sekali gus berisiko menyebarkan virus tersebut dalam komuniti. 

Turut dibimbangi, tambahnya, adalah penghidap asma yang hasil ujian kendirinya menunjukkan negatif palsu yang mungkin tidak melakukan kuarantin diri.

“Tindakan kerajaan menyerahkan tanggungjawab kepada orang ramai untuk melakukan sendiri ujian mengesan Covid-19 tidak berkesan untuk mengasingkan mereka yang dijangkiti dari orang lain dan dalam masa sama bergantung kepada laporan kendiri kepada KKM memberikan perbezaan yang besar dalam pengumpulan statistik,” jelasnya.

Tambah Mohideen, pihaknya juga bimbang mengenai virus baharu yang mungkin dibawa masuk ke negara ini apabila sempadan dibuka sekiranya kit ujian berkenaan tidak cukup sensitif untuk mengenal pasti pelancong yang dijangkiti dan menghalang mereka daripada masuk ke negara ini. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya