KULAI: Tewas dengan 137 undi, Barisan Nasional (BN) menuntut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melakukan pengiraan semula kertas undi di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Batu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Sabtu lalu.
Calon BN di kerusi itu, S. Suppayah berkata, pihaknya akan menggunakan saluran perundangan berhubung perkara itu kerana dipercayai berlaku ketirisan semasa proses pengiraan undi dilakukan.
Beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi MIC Pusat memberitahu, pengiraan semula itu perlu dilakukan kerana terdapat sejumlah besar kertas undi yang ditolak.
“Saya dimaklumkan ejen kira undi, terdapat banyak bantahan dan sepatutnya kertas undi boleh diterima. Tetapi bila ada bantahan daripada PKR, mereka (SPR) tolak semula kertas undi itu. Daripada asas itu, kami kurang senang dengan apa yang berlaku, jadi kami lihat menerusi perundangan mahkamah sahaja dilihat boleh menyelesaikan perkara ini,” katanya pada sidang akhbar selepas membuat laporan polis berhubung perkara itu di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai, di sini hari ini.
Pada PRN Johor, Sabtu lalu, Suppayah yang juga Ketua MIC Bahagian Kulai tewas kepada calon PKR, Chiong Sen Sern di kerusi DUN Bukit Batu dengan majoriti 137 undi selepas beberapa kali pengiraan undi dilakukan.
Sen Sern berjaya memenangi kerusi itu dengan jumlah undi sebanyak 9,439, menewaskan Supayyah yang memperoleh 9,302 undi.
Dalam pada itu, Supayyah berkata, laporan polis yang dibuat itu adalah salah satu proses perundangan bagi membolehkan bantahan dilaksanakan dan dibawa ke Mahkamah Tinggi.
Katanya, dalam laporan polis tersebut, pihaknya memohon SPR membuat pengiraan semula bagi undi yang ditolak melibatkan sebanyak 612 undi.
“Itu adalah satu jumlah yang sangat tinggi kerana jumlah majoriti di kerusi DUN itu adalah sebanyak 137 sahaja. Ia sukar diterima akal dan dilihat tak munasabah. Jadi, kami rasa adalah adil sekiranya perlu diadakan pengiraan semula mengikut undang-undang sepatutnya. Kami bukan memandai-mandai tetapi ia termaktub dalam peruntukan Akta SPR,” katanya. – UTUSAN