KUALA TERENGGANU: Seorang buruh dihukum penjara 12 tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas kesalahan memiliki dadah, dua tahun lalu.
Hakim, Datuk Hassan Abdul Ghani menjatuhi hukuman tersebut selepas tertuduh, Mohd. Rozi Samsudin, 32, mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan yang dibacakan.
Mahkamah memerintahkan hukuman penjara terhadap pemuda itu berkuat kuasa dari tarikh ditangkap pada 1 Disember 2020.
Mengikut pertuduhan, Mohd. Rozi didakwa memiliki dadah jenis methamphetamine seberat 53.33 gram di sebuah rumah di Kampung Alor Mak Bah, Dungun kira-kira pukul 3 petang pada tarikh berkenaan.
Tertuduh sebelum ini didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) akta sama yang memperuntukkan hukuman gantung mandatori jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Engku Ahmad Rashdi Engku Abdillah, Ahmad Fadhli Mahmud dan Amer Abu Bakar Abdullah manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd. Kamaruzaman A. Wahab. – UTUSAN