KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini, diberitahu bahawa Datuk Seri Bung Moktar Radin pernah meminta bekas Pengurus Besar Kumpulan Kewangan Felcra, Mohd. Azmy Abu Samah, 54 untuk ‘tengok-tengokkan’ sama ada agensi terbabit boleh membuat pelaburan dalam unit amanah Public Mutual Berhad.
Mohd. Azmy yang merupakan saksi pendakwaan ke-26, memberitahu perkara itu dinyatakan kira-kira sebulan selepas perunding unit amanah, Norhaili Ahmad Mokhtar membuat pembentangan mengenai pelaburan tersebut di pejabat saksi berkenaan.
“Bung ada tanya Norhaili ada datang atau tidak. Saya beritahu ada datang dan buat pembentangan mengenai produk unit amanah tetapi saya beritahu saya saya tidak boleh buat apa-apa kerana pada waktu itu tengah sibuk dengan pra-audit dan belanjawan untuk tahun depan.
“Selepas itu Bung Moktar beritahu tengok-tengokkanlah kalau boleh,”katanya.
Saksi itu berkata demikian pada perbicaraan kes Bung Moktar selaku Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra ketika itu dituduh menerima rasuah daripada Madhi Abdul Hamid menerusi Zizie Izette antara 12.30 tengah hari dan 5 petang, 12 Jun 2015 di Public Bank cawangan Taman Melawati di sini.
Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah itu juga didakwa menerima suapan wang tunai untuk dirinya sebanyak RM335,500 daripada Norhaili di bawah nama Zizie Izette di tempat sama pada 19 Jun 2015.
Zizie Izette pula didakwa atas tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu di tempat, tarikh dan masa yang sama.
Menjawab pertanyaan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Sophian Zakaria, saksi tersebut memberitahu, dia kemudian mengarahkan Pengurus Kanan Kawalan Kredit Felcra, Azriman Ridouan untuk membuat kajian mengenai pelaburan dalam unit amanah tersebut.
Selepas mendapati ia (sekitar 2014) adalah masa yang sesuai untuk membuat pelaburan, Mohd. Azmy kemudian meminta Azriman dan Pengurus Besar Kewangan Mariah Husain menyediakan simulasi kertas kerja cadangan bagi pelaburan ituyang bakal menggunakan peruntukkan dana pencen.
Ujar Mohd. Azmy, kertas kerja cadangan pelaburan itu dibentangkan kepada Bung Moktar secara tidak rasmi yang turut menyatakan bahawa pelaburan paling tinggi yang boleh dibuat oleh Felcra ketika itu adalah sebanyak RM50 juta.
“Saya beritahu Bung, kita boleh dapat kecairan dalam RM1.5 bilion tetapi tunai yang ada sekarang adalah RM300 juta. Bung Moktar kemudian tanya berapa hendak dilaburkan, saya beritahu paling tinggi adalah RM50 juta.
“Jumlah yang kita sediakan adalah RM300 juta tapi kita cadang RM50 juta sebab hendak belajar bagaimana uruskan unit amana, kami juga ada bincang mengenai risiko pelaburan,”katanya.
Menjawab pertanyaan sama ada cadangan pelaburan itu ada dibawa kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ketika itu, Datuk Ramlee Abu Bakar, Mohd. Azmy berkata beliau sendiri tidak pernah memberitahu kepada pegawai itu tetapi berkemungkinan Azriman ada memaklumkan mengenainya.
“Sebahagian pelaburan yang berkaitan dengan pelaburan seperti pertanian atau perniagaan utama akan dibawa ke majlis pengurusan tertinggi (MPT) tetapi yang ini (pelaburan RM50 juta) kita tidak boleh bawa ke MPT kerana CEO tidak arif dalam bidang ini.
“Apabila saya berbincang dengan Ketua Pegawai Eksekutif Berhad, Datuk Zulkarnain Md. Eusope, saya katakan perkara ini perlu dibawa kepada MPT, tetapi dia cakap kalau bawa melalui CEO, dia (CEO) tidak akan proses kerana kononnya ia daripada pengerusi (Bung).
“Oleh kerana Zulkarnain masuk setahun awal daripada saya, jadi dia lagi arif mengenai budaya di FELCRA, dia juga ada nasihatkan saya mengenai perang dingin antara pasukan lama dan baru,” katanya.
Perbicaraan di hadapan Hakim Rozina Ayob bersambung esok. – UTUSAN