PUTRAJAYA: Meroyan selepas bersalin akibat ditinggalkan suami, digantung tidak bertali selain diuji dengan pelbagai penyakit. Lebih perit, dia terpaksa membesarkan anak dengan gaji RM500 sebulan sebagai pekerja taska, namun akhirnya bangkit dan kini bergelar seorang pengusaha wanita taska berjaya.
Itu antara 34 kisah benar dialami wanita cekal negara yang mana pengalaman mereka dikongsi menerusi buku bertajuk ‘Wanita Bangkit’. Buku berkenaan diterbitkan hasil kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bersama Institut Sosial Malaysia dan Akademi Bonda Nor.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun berkata, buku itu dihasilkan menerusi pengalaman sebenar dilalui oleh mangsa keganasan rumah tangga, ibu tunggal dan wanita-wanita yang teraniaya.
Beliau berkata, apa yang mahu di kongsikan menerusi buku ini adalah kisah kebangkitan mereka dan kejayaan yang mereka peroleh selepas bangkit daripada masalah yang membelenggu.
“Saya harap kisah benar dikongsi wanita-wanita ini dapat dijadikan Inspirasi kepada wanita di luar sana selain memberi motivasi untuk bangkit semula.
“Buku ini mempunyai nilai sentimental untuk saya untuk memperjuang dan mengangkat golongan wanita di negara ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan buku ‘Wanita Bangkit’, di sini hari ini.
Katanya, terma Wanita Bangkit itu sendiri adalah inisiatif dan cetusan ideanya bagi menyediakan peluang pekerjaan kepada wanita di negara ini ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.
Rina berkata, buku berkenaan kini boleh didapati di toko-toko buku pada harga promosi RM35. – UTUSAN