Buku hanyut banjir, calon SPM ulang kaji terakhir melalui telefon

Buku hanyut banjir, calon SPM ulang kaji terakhir melalui telefon

AHMAD Naqiuddin Mohamad Zaki berpakaian biasa dengan baju T berwarna oren memasuki dewan peperiksaan untuk menduduki SPM di SMAASZA, Kuala Terengganu, semalam. UTUSAN/TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hanya mampu menjadikan nota-nota yang dikongsi rakan melalui telefon bimbit sebagai rujukan bagi ulang kaji terakhir sebelum menduduki peperiksaan itu, semalam.

Ahmad Naqiuddin Mohamad Zaki, 18, berkata, pendekatan itu terpaksa diambil memandangkan semua kelengkapan persekolahannya termasuk buku-buku dan pakaian hanyut dalam banjir, baru-baru ini.

Katanya, walaupun sedih berdepan ujian berat itu beberapa hari sebelum SPM, dia bersyukur kerana rakan-rakan banyak membantu menyalurkan bahan rujukan dan bacaan, sekali gus meringankan beban yang ditanggung.

“Selain hilang kelengkapan sekolah, saya bersama 130 rakan di Sekolah Menengah Agama (SMA) Mahmudiah di Hulu Terengganu terpaksa mengambil peperiksaan di SMA Atas Sultan Zainal Abidin (SMAASZA) di sini kerana sekolah kami banjir.

“Mujurlah rakan-rakan banyak membantu, malah cikgu turut berusaha menyediakan bahan bacaan baharu untuk calon-calon SPM mangsa banjir seperti kami menerusi aplikasi WhatsApp,” katanya ketika ditemui di SMAASZA, semalam.

Bagaimanapun, Ahmad Naqiuddin yang berpakaian biasa tetap berharap keputusan peperiksaannya kelak cemerlang dan mampu meraih sekurang-kurangnya 7A daripada keseluruhan 10 mata pelajaran yang diambil.

Seorang lagi calon SPM yang terjejas banjir, Nur Amni Syuhadah Mohd. Zahrulnizam, 18, kesal nota-nota belajar yang disiapkannya hilang sekelip mata dibawa bah.

“Saya sudah buat banyak persediaan seperti ulang kaji dan menyiapkan nota-nota tetapi semua sudah hilang. Saya berdoa dapat menjawab peperiksaan dengan tenang dan dipermudah urusan hingga SPM tamat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya