KUALA TERENGGANU: Budaya politik matang sejahtera (BPMS) yang menjadi dasar Pas selama ini didakwa sudah dibuang jauh ke dalam Laut China Selatan.
Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, perkara itu jelas dilihat berdasarkan serangan bertali arus oleh kepemimpinan tertinggi parti dan Perikatan Nasional (PN) terhadap UMNO serta Barisan Nasional (BN).
Katanya, tindakan menyerang UMNO/BN yang masih lagi rakan Pas menerusi Muafakat Nasional (MN) sama sekali tidak mampu menarik penyokong BN untuk menyokong PN.
“Namun hakikat ini pastinya tidak akan diperakui oleh pimpinan dalam bedah siasat pilihan raya nanti.
“Budaya penafian dan menyapu sampah ke bawah karpet jika terus dibiarkan akan membunuh parti satu hari nanti,” katanya dalam hantaran di laman Facebook di sini hari ini.
Mohd. Khairuddin yang juga bekas Ahli Jawatankuasa Pas turut menyindir sikap walak atau ketaatan ahli parti ini terhadap pemimpin tidak sepatutnya mematikan muhasabah dan kritikan.
Tegasnya, kritikan bukan satu bentuk penderhakaan terhadap walak.
“Kritikan terbuka perlu diterima di saat teguran dalaman menerusi mesyuarat tertutup tidak lagi diendahkan, bahkan dibocorkan kepada awam sehingga menimbulkan fitnah kepada orang yang menegur,” katanya.
Sebelum ini, Mohd. Khairuddin mengakui setiap hantaran berbaur teguran dalam laman Facebook miliknya ditujukan kepada semua ahli politik terutama golongan yang disifatkan nakal. – UTUSAN