KUALA TERENGGANU: Pas menolak dakwaan Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali kononnya budaya politik matang dan sejahtera yang menjadi dasar parti itu sudah lenyap.
Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, budaya itu masih teguh dipertahan malah terus dihayati di semua peringkat hingga kini.
“Tentang dakwaan itu kena tanya dia (Mohd. Khairuddin), saya pun tidak faham apa maksudnya kerana budaya itu ada dan sentiasa ditekankan oleh kepemimpinan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Terdahulu, Mohd. Khairuddin mendakwa budaya politik matang dan sejahtera itu sudah dibuang jauh ke dalam Laut China Selatan susulan serangan bertali arus oleh kepemimpinan tertinggi parti dan Perikatan Nasional (PN) terhadap UMNO dan Barisan Nasional (BN).
Katanya, tindakan menyerang UMNO/BN yang masih lagi rakan Pas menerusi Muafakat Nasional (MN) tidak mampu menarik penyokong BN untuk menyokong PN.
Dalam pada itu, Ahmad Samsuri berkata, Pas belum membincangkan mengenai hasrat Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk meletak jawatan berikutan prestasi hambar gabungan tersebut pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Bagaimanapun, katanya, Pas akan mengadakan mesyuarat jawatankuasa parti pada Jumaat ini, namun kurang pasti adakah turut membincangkan mengenai perkara tersebut.
Mengulas lanjut mengenai PRN Johor, beliau berkata, Pas berada di kedudukan baik kerana berjaya mencapai objektif menerusi undi yang meningkat. – UTUSAN