KUANTAN: Seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun berdepan detik cemas apabila terperangkap di luar tingkap bangunan pangsapuri Sutera Villa, di Taman Pelindung Damai, di sini hari ini.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan tentang kejadian itu kira-kira pukul 10.11 pagi.
Menurutnya, kanak-kanak yang berada di tingkat tiga bangunan lapan tingkat itu dibawa turun dengan selamat.
“Siasatan awal mendapati kanak-kanak tersebut bertindak berani berada di luar jendela tersebut. Operasi menyelamat membabitkan kekuatan lima anggota dari Balai Bomba Kuantan dengan menggunakan satu jentera C1-03.
“Anggota bomba menggunakan tangga dan juga harness dalam usaha menyelamat dan menurunkan kanak-kanak tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini.
Sementara itu, Zulfadli berkata, operasi menyelamat itu mengambil masa lebih kurang 20 minit dan tamat sekitar pukul 12.12 tengah hari. – UTUSAN