PUTRAJAYA: Kanak-Kanak berusia 5 hingga 11 tahun yang dijangkiti Covid-19 perlu menunggu tempoh enam minggu selepas sembuh daripada jangkitan itu sebelum menerima vaksin.
Berbeza dengan golongan dewasa, mereka tidak perlu menunggu dan sebaik sebaik disahkan sembuh dari jangkitan virus SARSCoV-2 itu mereka boleh menerima vaksin.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, tempoh itu wajar dipertimbangkan sebelum kanak-kanak terbabit diberikan vaksin Covid-19 bagi mendapatkan perlindungan sewajarnya.
Bagaimanapun, beliau berkata, ibu bapa boleh mendapatkan nasihat doktor terlebih dahulu sebelum mendapatkan vaksin untuk anak mereka selepas dijangkiti wabak itu.
“Selepas enam minggu boleh dipertimbangkan. Ya, perlu mendapatkan nasihat doktor terlebih dahulu kerana individu yang dijangkiti Covid-19 sudah ada imun semula jadi,” katanya di sini semalam.
Sebelum ini, bekas pesakit Covid-19 dewasa perlu menunggu tiga bulan untuk menerima suntikan vaksin, bagaimanapun, Jawatankuasa Khas Jaminan Bekalan Akses Vaksin Covid-19 (JKJAV) pada tahun lalu mengambil keputusan memansuhkan tempoh menunggu itu berdasarkan pendapat pakar.
Walaupun bukti terkini menunjukkan jangkitan semula jadi virus itu menghasilkan perlindungan yang baik terhadap jangkitan semula selama sekurang-kurangnya tiga bulan, namun kemunculan varian baharu virus ini menyebabkan ada keperluan pemberian vaksin lebih awal dari tempoh ditetapkan sebelum ini.
Dengan kemunculan varian Omicron yang lebih mudah menjangkiti, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin baru-baru ini memberitahu, seramai 119,719 kanak-kanak berusia bawah 12 tahun dijangkiti Covid-19 bagi tempoh Januari hingga pertengahan bulan ini, susulan penularan varian tersebut.
Daripada jumlah itu, 37,845 kes kategori satu manakala kategori dua (81,849 kes), kategori tiga (274 kes), kategori empat (86 kes) dan kategori lima (25 kes) dan risiko jangkitan varian Omicron meningkat sekiranya kanak-kanak itu mempunyai komorbid atau tergolong dalam kumpulan berisiko tinggi.
Kadar kemasukan kanak-kanak ke wad Pusat Penjagaan Intensif Pediatrik (PICU) bagi kategori tiga hingga lima meningkat sebanyak 94 peratus dan keadaan kritikal boleh berlaku kepada kanak-kanak akibat jangkitan Covid-19 adalah ‘Multi System Inflammatory Syndrome in Children (MIS-C) yang mana terjadinya keradangan pada organ dalaman terutama jantung, paru-paru dan otak. – UTUSAN