PETALING JAYA: Perjanjian Kerjasama Trilateral (TCA) membabitkan tiga negara akan dinilai dan diperluas menerusi penyertaan Brunei.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, penyertaan negara tersebut adalah sebahagian kerjasama ketenteraan empat negara bagi menangani ancaman bersama.
Katanya, setakat ini beliau telah membincangkan perkara tersebut bersama rakan sejawatnya dari Brunei dan kini menunggu perkenan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah bagi merealisasikan kerjasama berkenaan.
“Kerjasama dua hala dengan Brunei telah dibincangkan dengan Menteri Pertahanan II Brunei, Menteri Pertahanan II Mejar Jeneral (B) Datuk Paduka Seri Awang Halbi Md Yusof. Kita telah bersetuju untuk memperkukuh hubungan dua hala dalam aspek ketenteraan.
“Namun, paling membanggakan, perjanjian TCA akan disemak semula. Saya akan umumkan sekiranya dapat perkenan Sultan Hassanal Bolkiah, kita akan tukar daripada trileteral kepada kuartet untuk masukkan penyertaan Brunei,” katanya dalam sidang akhbar sejurus selepas Majlis Penghargaan dan Pengumuman sempena Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2022 di sini hari ini. – UTUSAN