IPOH: Operasi mencari dua mangsa tertimbus runtuhan batu di tapak kuari dekat Keramat Pulai yang memasuki hari kelima hari ini mengalami kesulitan, berikutan kehadiran bongkah-bongkah batu seberat lebih 200 tan.
Timbalan Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Aidil Adlee Che Mee berkata, dua jengkaut yang digunakan dalam operasi berkenaan tidak mampu mengalihkan bongkah-bongkah batu yang menyamai bangunan tiga tingkat itu.
Oleh itu katanya, kaedah letupan terpaksa digunakan bagi memecahkan bongkah batu itu kepada saiz yang lebih kecil meskipun berdepan risiko struktur dinding bukit yang kemungkinan besar terjatuh.
“Operasi mencari mangsa turut berdepan kesukaran ekoran ruang terhad yang menyukarkan jengkaut untuk masuk ke sektor pencarian. Kita juga bimbang bongkah-bongkah batu akan tergelincir sekali gus memberi risiko kepada pemandu jengkaut. Setakat ini, hanya dua jengkaut yang digunakan dalam operasi tersebut,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mengulas lanjut Aidil Adlee berkata, sehingga kini tumpuan pencarian memberi fokus kepada lokasi dua pekerja kuari itu berada berdasarkan gambaran rakan mereka yang terselamat.
Katanya, laluan sepanjang 300 meter telah dibuka dengan menggunakan jengkaut dan Unit Anjing Pengesan (K9) bomba dijangka diatur gerak bagi mengesan kedudukan mangsa esok.
“Buat masa sekarang, kita sedang berusaha membuka laluan ke spot (kedudukan) mangsa berada dan kerja-kerja mengalihkan batu juga telah berjalan sehingga 70 peratus. Berdasarkan perancangan, K9 akan digerakkan esok namun apa pun, ia bergantung kepada keadaan cuaca dan struktur batu,” katanya.
Tambah beliau, kedua-dua mangsa yang merupakan pemandu jengkaut dan pembantunya dipercayai tertimbus pada kedalaman 15 hingga 20 meter.
Dalam kejadian sekitar pukul 9.15 pagi di tapak kuari dekat Keramat Pulai, Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands Selasa lalu, dua mangsa yang tertimbus runtuhan batu dikenali sebagai Itam Lasoh, 43, dan Kheow Loo Siew Soon, 49.
Seorang lagi mangsa berusia 35 tahun yang mengalami patah tulang kaki dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan manakala rakannya berusia 38 tahun cedera ringan. – UTUSAN