PUTRAJAYA: Bermula esok, Kementerian Kesihatan (KKM) menawarkan vaksin CoronaVac di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang terpilih menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kanak-kanak (PICKids) untuk kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun.
Timbalan Menteri Kesihatan 1, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali berkata, kanak-kanak yang tidak boleh menerima vaksin Comirnaty atas sebab kesihatan ditawarkan vaksin CoronaVac oleh petugas kesihatan.
Menurutnya, selain itu, ibu bapa diberi pilihan untuk memberikan vaksin CoronaVac kepada anak sekiranya mereka tidak bersetuju untuk menggunakan vaksin Comirnaty.
“Jika terdapat pertanyaan, ibu bapa dialu-alu mendapatkan penjelasan dengan lebih lanjut daripada petugas kesihatan yang bertugas. Vaksin CoronaVac hanya boleh diberi apabila kanak-kanak mencapai usia lima tahun pada tarikh lahir.
“Bagi mendapatkan status vaksinasi lengkap, dua dos vaksin CoronaVac dengan selang masa empat minggu perlu diberikan kepada kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, ibu bapa boleh menyemak senarai nama serta waktu operasi PPV yang menawarkan CoronaVac secara walk-in di laman web KKM dan PHCorp yang diumumkan sebelum ini.
“Ibu bapa yang mendaftarkan anak dalam aplikasi mySejahtera pula akan menerima pautan kepada tempahan janji temu vaksinasi anak-anak mereka. Penawaran vaksin CoronaVac di PPV yang dikendalikan oleh KKM dan PHCorp di bawah PICKids adalah percuma.
“Selain program PICKids, terdapat juga klinik dan hospital swasta yang menawarkan vaksin CoronaVac kepada kanak-kanak lima hingga 11 tahun dengan bayaran,” ujarnya.
CoronaVac keluaran Sinovac menjadi vaksin kedua selepas vaksin Comirnaty (Pfizer- BioNTech) formulari kanak-kanak yang diberi kelulusan bersyarat penggunaannya untuk kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun.
Mengulas lanjut, Noor Azmi berkata, vaksin Comirnaty formulari kanak-kanak adalah vaksin yang diberi keutamaan dalam PICKids termasuk kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun yang berisiko tinggi dan mempunyai komorbiditi seperti individu mempunyai rendah imun, penyakit paru-paru kronik, penyakit jantung, kencing manis, obesiti dan lain-lain.
Tambah beliau, berdasarkan data dalam CovidNow sehingga 5 Mac lalu, jangkitan Covid-19 dalam kalangan kanak-kanak berusia bawah 12 tahun menunjukkan peningkatan ketara apabila 123,053 orang disahkan positif virus itu sejak Januari lalu malah, terdapat kes memerlukan rawatan di hospital dan sebilangannya memerlukan rawatan intensif di unit rawatan rapi (ICU). – UTUSAN