BN perlu jelaskan isu pemilihan Menteri Besar - Guan Eng - Utusan Malaysia

BN perlu jelaskan isu pemilihan Menteri Besar – Guan Eng

LIM Guan Eng (tengah) bersama kepimpinan DAP pada sidang akhbar di Ibu Pejabat DAP Johor di Kulai, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULAI: Barisan Nasional (BN) perlu memberi penjelasan berhubung isu pelantikan Menteri Besar Johor apabila Datuk Onn Hafiz Ghazi dipilih menyandang jawatan itu dan bukan Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, penjelasan itu perlu diberikan gabungan berkenaan kerana sepanjang tempoh Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, individu yang dinamakan sebagai calon adalah Hasni.

“Apabila Menteri Besar bukan individu seperti yang dikatakan, mereka kena jawab, jadi buat masa ini kami sedang tunggu penjelasan daripada mereka,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat DAP Johor, hari ini.

Turut hadir, Penasihat DAP, Lim Kit Siang; Pengerusi DAP, Tan Kok Wai; Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong serta barisan kepimpinan parti yang lain.

Tambah Guan Eng, DAP tiada masalah dengan pelantikan Onn Hafiz yang dilihat masih muda sebagai Menteri Besar kerana pihaknya merasakan usia tidak memainkan faktor utama dalam jawatan berkenaan.

“Usia bukan penghalang, kerana perkara yang lebih utama adakah beliau akan tunaikan manifesto BN sedangkan bukan dia yang berjanji untuk melakukan perkara tersebut. Kita beri mereka (BN) peluang untuk buktikan dahulu,” jelasnya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Bagan itu berkata, 10 wakil rakyat DAP yang dipilih rakyat akan terus bekerjasama dengan rakan daripada Pakatan Harapan (PH) untuk menjadi pembangkang yang berintegriti dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.

“Buat waktu ini, kerjasama kita adalah bersama rakan-rakan dalam PH dan kami juga tiada sebarang kerjasama dengan wakil rakyat daripada Perikatan Nasional (PN). Perkara ini tidak langsung dibincangkan,” katanya.

Dalam pada itu, Guan Eng berkata, DAP akan mengenal pasti kekurangan dan kelemahan sepanjang PRN Johor yang menyaksikan tewas di empat kerusi daripada keseluruhan 14 ditandingi.

“Kita akan terus berkhidmat kepada rakyat negeri ini tanpa melihat kepada latar belakang mereka sama ada perbezaan agama, kaum dan juga fahaman politik.

“Kita masih berpegang aspirasi untuk mentadbir semula kerajaan Johor pada masa depan, hanya dengan langkah itu akan membolehkan kita melaksanakan perancangan yang tersedia untuk kesejahteraan dan kemakmuran Johor,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya