PUTRAJAYA: Kemenangan undi Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sudah dijangkakan berdasarkan corak pengundian sama yang berlaku dalam PRN Melaka.
Penganalisis keselamatan dan politik Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, antara yang menyumbang dalam kemenangan PRN itu adalah kecenderungan undi tentera kepada BN.
Beliau berkata, ia mungkin disebabkan faktor undi popular Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang mempunyai rekod baik dalam pengurusan hal ehwal kebajikan anggota tentera dan imej beliau yang positif.
“Faktor individu perlu diperakui menjadi faktor kemenangan dalam mana-mana pilihan raya khususnya PRN dan ini memberi kelebihan kepada BN kerana Hishammuddin adalah antara Menteri Pertahanan yang popular dalam kalangan anggota tentera.
“Kestabilan kerajaan adalah sebahagian dari aspek keselamatan negara, maka anggota tentera juga menyumbang kepada pembentukan kerajaan negeri yang kuat dalam aspek menstabilkan politik negara dengan mengundi gabungan yang boleh menjalankan tadbir urus sektoral dengan baik termasuk elemen pertahanan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
BN yang menawan 40 Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor menguasai pengundian hampir semua saluran di kem-kem tentera yang terdapat di negeri berkenaan.
Seramai 11,057 pengundi tentera dan pasangan mereka mengundi di 10 DUN, antaranya DUN Mahkota, Senggarang, Tenggaroh, Pasir Raja, Tanjong Surat dan Permas. – UTUSAN