Bitcoin: Peniaga mengaku tidak bersalah rasuah pegawai TNB

Bitcoin: Peniaga mengaku tidak bersalah rasuah pegawai TNB

DING Ai Sing didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh, Perak, atas tuduhan memberi rasuah berjumlah RM126,500 kepada seorang pegawai TNB bulan lalu. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seorang peniaga dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas tuduhan memberi rasuah berjumlah RM126,500 kepada pegawai Tenaga Nasional Berhad (TNB), bulan lalu.

Ding Ai Sing, 50, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan kepadanya dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.

Mengikut pertuduhan, Ai Sing didakwa secara rasuah memberi suapan wang tunai berjumlah RM126,500 kepada seorang pegawai TNB melalui seorang lelaki sebagai dorongan tidak melakukan tindakan penguatkuasaan ke atas pengusaha premis yang disyaki mencuri elektrik, di sekitar Lembah Klang untuk aktiviti melombong bitcoin.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu dalam bilik di sebuah hotel di Jalan Dato Lau Pak Kuan di sini pada pukul 10.53 pagi, 28 Februari lalu.

Bagi kesalahan tersebut, dia didakwa mengikut Seksyen 16(b) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Pada prosiding sama, tertuduh juga tidak mengaku bersalah bagi pertuduhan pilihan untuk kesalahan serupa pada masa, tarikh dan lokasi yang sama.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh 15 bulan daripada tempoh penjara maksimum lima tahun atau denda atau dengan kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Maziyah Mansor manakala tertuduh diwakili peguam Akmal Jusoh.

Terdahulu, pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM1 juta dengan dua penjamin warganegara kepada tertuduh setelah mengambil kira kemampuan lelaki itu berdasarkan jumlah sitaan sebanyak RM1.49 juta bagi kes berkenaan.

Malah pihak pendakwaan berkata, perbuatan tertuduh juga adalah kesalahan serius dan melibatkan kepentingan awam serta mendapat liputan meluas media.

“Terdapat juga kebimbangan tertuduh akan melarikan diri. Oleh itu, mohon mahkamah agar mengenakan syarat tambahan iaitu tertuduh dikehendaki melaporkan diri setiap bulan di pejabat SPRM dan pasportnya diserahkan kepada mahkamah,” ujar Maziyah.

Bagaimanapun, Akmal memohon agar jumlah jaminan dikurangkan kepada RM50,000 berikutan akaun tertuduh dan keluarga disita di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA).

“Tertuduh juga tiada masalah untuk hadir ke mahkamah kerana dia tinggal di Manjung bersama isteri, anak dan menantu yang boleh menjamin kehadirannya pada tarikh yang ditetapkan,” katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM200,000 dengan dua penjamin warganegara beserta syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri di pejabat SPRM Ipoh pada Sabtu pertama setiap bulan sehingga kes selesai dan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Mahkamah menetapkan 25 April ini sebagai tarikh sebutan semula kes. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya