KOTA KINABALU: Kecewa teguran dan suara pemimpin sayap-sayap parti dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak diambil kira, Pemuda UMNO Sabah melahirkan kebimbangan jenama GRS akan terkubur.
Ketua Pemuda UMNO Sabah, Ir. Abdul Aziz Julkarnain berkata, secara peribadi beliau telah memberi teguran kepada pemimpin atasan GRS agar suara sayap-sayap parti seperti Pemuda, Armada, Srikandi diambil kira dalam usaha mendaftarkan gabungan berkenaan.
Namun, apa yang berlaku sekarang, pendaftaran gabungan ini hanya melibatkan satu pihak sahaja iaitu pemimpin tertinggi parti.
“Saya berani katakan saya pernah duduk berbincang bersama Armada dan Srikandi, mereka juga tidak dilibatkan dalam perbincangan jadi, mana mana jenama GRS ini mahu berjaya.
“Bagaimana GRS mahu bergerak sekiranya Pilihan Raya Umum (PRU) dalam masa dua atau tiga bulan ini. Tiada kesefahaman di dalam gabungan ini jadi, saya harap pemimpin-pemimpin GRS mengambil serius perkara ini.
“Libatkan semua sayap-sayap parti sekiranya kita betul-betul serius mahu mengangkat GRS. Kalau tidak serius seperti sekarang, hanya melibatkan satu pihak sahaja sukar untuk kami membawa jenama ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut beliau, sekiranya pendaftaran GRS dibuat semata-mata untuk berhadapan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), jenama itu mungkin tidak akan laku kerana tidak cukup mana untuk memperkenalkannya kepada rakyat.
Abdul Aziz berkata, beliau setuju dengan penubuhan GRS kerana ia adalah mandat rakyat yang harus dipertahankan.
Walau bagaimanapun, sekiranya pemimpin-pemimpin atasan sudah serius mahu menjadikan gabungan itu sebagai entiti politik berdaftar maka, bertindak secara profesional dengan menyusun gerak kerja dan struktur organisasi dengan teratur.
Tambah beliau, sayap-sayap pemuda tidak kira UMNO mahupun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) atau lain-lain komponen parti perlu dilibatkan kerana pemimpin muda menyumbang 60 peratus keahlian dalam mana-mana parti.
Justeru itu, jangan hanya melibatkan ‘beliau-beliau’ yang berada di atas sahaja, pemimpin GRS perlu mengambil kira suara sayap-sayap parti yang akan menjadi jentera menjelaskan tentang GRS kepada rakyat di peringkat akar umbi.
Mengulas lanjut katanya, keanggotaan GRS juga berbeza berbanding semasa ia mula-mula diwujudkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Dahulu GRS terdiri daripada tiga komponen utama iaitu BN, Perikatan Nasional (PN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) namun, sekarang ia sudah dipecahkan menjadi 10 komponen parti seperti UMNO, Bersatu, Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Pas Islam Se-Malaysia (Pas) dan lain-lain. UTUSAN
Ends.