Berkuda, karavan tarikan Kok Mak Stable

Berkuda, karavan tarikan Kok Mak Stable

PELBAGAI aktiviti menarik menjadi tumpuan pengunjung seperti berkuda di Kok Mak Stable di Kampung Kok Mak, Padang Besar, Perlis. - UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Kampung Kok Mak yang jaraknya kira-kira enam kilometer dari pekan Padang Besar adalah penempatan biasa namun dirancakkan dengan aktiviti berkuda diusahakan seorang anak muda.

Menariknya, Kok Mak Stable yang diusahakan Mat Farhan Mohamad, 35, itu turut menyediakan karavan dan rumah hobbit yang terkenal dalam filem The Lord of The Rings sebagai salah satu tarikan pengunjung ke lokasi berkenaan.

Lebih istimewa, pengunjung juga akan menikmati pemandangan seperti ladang pertanian dan penternakan haiwan sambil menunggang kuda di kawasan berkenaan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Mat Farhan berkata, stable atau ladang kuda tersebut mula dibuka pada 2018 dan sehingga kini sebanyak tujuh ekor kuda dengan kebanyakan adalah baka Polo dari Argentina dan Quarterpaint dari Amerika.

Katanya, mereka lebih fokus dalam memberi pendidikan kepada pengunjung mengenai aktiviti tersebut seperti mengajar asas menunggang, imbang dan mengawal kuda.

“Kita bimbing mereka yang menunggang kuda ini. Sejak mula dibuka, sambutan yang diterima sangat memberangsangkan termasuk dari pengunjung luar negeri ini. Aktiviti tersebut secara tidak langsung membantu merancakkan pelancongan di negeri ini.

“Kita menawarkan pakej asas menunggang kuda iaitu RM60 bagi satu sesi selama 40 minit. Joyride pula RM50 bagi 30 minit dan outride di Lembah Chuping pula RM250 bagi dua jam. Pakej penginapan di rumah hobbit pula RM150 semalam,” katanya.

PENGUNJUNG dapat merasai pengalaman bersantai dengan karavan pertama di Perlis yang mempunyai kemudahan katil, ruang tamu, dapur, meja makan dan tandas di Kok Mak Stable.

Tambah Mat Farhan, karavan yang disediakan di sini pula adalah yang pertama di Perlis dengan mempunyai kemudahan katil, ruang tamu, dapur, meja makan dan tandas.

Jelasnya, karavan tersebut dibeli dari United Kingdom dan tiba di sini sejak dua bulan lalu.

“Pakej karavan untuk enam orang adalah RM1,000 iaitu bergerak keluar ke Lembah Chuping, Santuari Timah Tasoh dan Bukit Chabang manakala jika tidak keluar pula adalah RM600 semalam,” katanya.

Katanya, lokasi tersebut akan ditambah baik dari semasa ke semasa memandangkan sambutan semakin memberangsangkan saban hari khususnya pada cuti sekolah dan hujung minggu. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya