Beri masa kesihatan awam stabil sebelum PRU-15 - Utusan Malaysia

Beri masa kesihatan awam stabil sebelum PRU-15

KHAIRY Jamaluddin melihat proses pemeriksaan kesihatan yang dijalankan sempena Program Khidmat Komuniti Sempena Sambutan Hari Pembantu Perubatan 2022 anjuran Persatuan Pembantu Perubatan Malaysia di Senawang, Seremban hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Keadaan kesihatan awam negara perlu diberi peluang untuk kembali stabil sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15)  sesuai  diadakan.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, walaupun negara memasuki fasa peralihan ke endemik namun tindakan masih perlu diambil apatah lagi pilihan raya umum merupakan aktiviti yang melibatkan orang ramai.

“Walaupun kita masuk ke fasa peralihan ke endemik tidak bermaksud pandemik sudah tamat, kita masih lagi perlu berhati-hati. Sempadan negara dibuka, saf boleh dirapatkan, hak maksimum kapasiti dimansuhkan tetapi itu tidak bermaksud kita boleh buat apa sahaja.

“Kita baru selesai (PRN) Johor, saya lebih suka kita tunggu sehingga keadaan kesihatan awam kita stabil, barulah kita boleh melihat kepada pilihan raya umum,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata demikian selepas merasmikan Program Khidmat Komuniti Sempena Sambutan Hari Pembantu Perubatan 2022 anjuran Persatuan Pembantu Perubatan Malaysia di Senawang dekat sini hari ini. 

Khairy mengulas mengenai gesaan supaya Parlimen dibubarkan susulan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, semalam.

 

Bubar Parlimen

Laungan ‘bubar Parlimen’ itu bersahutan di Ibu Pejabat UMNO Johor malam tadi dan ia tercetus apabila Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menuju ke pentas utama.

Sementara itu, Khairy turut berpandangan, tiada keperluan mendesak ketika ini untuk PRU-15 diadakan dan keadaan itu berbeza dengan situasi di Johor.

“Di Johor kita tiada pilihan, sebab sudah tiada majoriti dan kerajaan sangat rapuh tetapi saya lihat kerajaan Persekutuan ada perjanjian, sehingga bulan Julai. Tiada apa-apa keperluan yang mendesak, kerajaan stabil, tidak akan tumbang dan undang-undang dapat diluluskan di Parlimen.

“Daripada sudut kesihatan awam, saya nampak, boleh kita tunggu dulu, sehingga keadaan bertambah stabil. Jangan kita mengundang perkara yang tidak perlu kita adakan kerana semata-mata kita nampak ada peluang politik.

“Apa yang lebih penting adalah kesihatan awam dan pemulihan negara, kita nak pulihkan negara, baru nak buka sempadan, baru mahu mula, saya rasa berilah peluang sedikit untuk keadaan bertambah stabil,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya