KUALA LUMPUR: Seorang bekas sukarelawan Rumah Bonda memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari ini, dia mula mengenali remaja Sindrom Down yang dikenali sebagai Bella ketika diserahkan kepada pengasas rumah perlindungan itu, Siti Bainun Ahd Razali sewaktu berusia 13 tahun.
Zurianty Sudin, 39, yang juga rakan baik Siti Bainun berkata, Bella seorang kanak-kanak yang gebu dan berisi ketika ditemui kali pertama sekitar Julai 2020.
Bagaimanapun, saksi pendakwaan pertama itu memberitahu dia tidak mempunyai pengetahuan sama ada Bella ditemui oleh orang awam di bawah jambatan di kawasan Seri Petaling ketika berusia empat tahun.
Ketika ditanya oleh peguam Nur A’minahtul Mardiah Md. Nor yang mewakili Siti Bainun, wanita itu juga menyatakan tidak tahu sama ada Bella diserahkan oleh orang awam kepada Balai Polis Seri Petaling.
Zurianty dalam keterangannya juga tidak mengetahui sama ada Bella kemudian dipelihara oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sehingga berusia sembilan tahun.
Mahkamah sedang mendengar perbicaraan kes Siti Bainun yang didakwa atas pertuduhan mengabai dan menganiaya seorang kanak-kanak perempuan Sindrom Down.
Pada sesi pemeriksaan balas, Zurianty turut bersetuju bahawa Bella tidak dapat membezakan di antara kertas dan baju.
Saksi juga memberitahu, Bella pernah mencarut dan memukul kepala bayi selain mengutip gula-gula dan memakannya.
Pada prosiding itu, Zurianty turut menafikan dia kerap `putar cerita’ dan berbohong di mahkamah.
Dalam salah satu keterangannya, saksi tidak bersetuju bahawa dia membuat dua hantaran berbeza dalam Facebook bahawa seorang bayi yang dikenali sebagai `Adam’ tidak dijaga dengan baik di Rumah Bonda.
Mahkamah turut diberitahu, Zurianty bersetuju dia membuat laporan polis pada Julai 2021 berhubung kematian ‘Adam’ dengan mendakwa punca kematian akibat kecuaian penghuni yang menjaga bayi tersebut.
Saksi juga bersetuju, sehingga tahun lalu, dia masih mempunyai hubungan baik dengan Siti Bainun dan kerap membuat hantaran dalam Facebook yang menunjukkan sokongan terhadap rakannya itu.
Jelasnya, keakraban tersebut juga digambarkan melalui ucapan terima kasih yang disampaikan secara maya kepada pihak-pihak yang menyokong Rumah Bonda.
Zurianty turut bersetuju dia membuat hantaran dalam Facebook berhubung usaha Siti Bainun membuat persediaan untuk enam penghuni Rumah Bonda melahirkan anak secara serentak.
Saksi yang berkhidmat sebagai sukarelawan di antara tahun 2015 dan 2019 kerap melawat Rumah Bonda dan mengetahui aktiviti yang dijalankan penghuni-penghuni di situ.
Perbicaraan di hadapan Hakim Izralizam Sanusi bersambung esok.
Siti Bainun, 30, didakwa sebagai orang yang dipertanggungjawab untuk menjaga kanak-kanak perempuan berusia 13 tahun telah mengabaikan iaitu dengan menyebabkan kanak-kanak itu mengalami kecederaan fizikal dan emosi.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah unit rumah kondominium di Seksyen 10, Wangsa Maju di sini antara bulan Februari dan Jun 2021.
Dia didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah seksyen sama.
Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Pada 25 November 2021, Siti Bainun turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menganiaya remaja sama sehingga menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal dan emosi pada tempat dan tarikh sama. – UTUSAN