KUALA LUMPUR: Remaja perempuan Sindrom Down yang dikenali sebagai Bella pernah mengadu kepada seorang wanita ketika dalam perjalanan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) bahawa dia `dicili’, diikat dan dijirus air panas.
Zurianty Sudin, 39, memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari ini, ketika bersama-sama Bella menaiki ambulans pada 24 Jun 2021, remaja itu turut memaklumkan perbuatan tersebut dilakukan oleh beberapa individu.
Menurut saksi pendakwaan pertama, dia menemani Bella ke HKL selepas mendapati remaja berkenaan mengalami kecederaan seperti melecur di bahagian tangan, dada, paha dan beberapa bahagian lain sebelum satu laporan polis dibuat pada hari sama.
Mahkamah sedang mendengar perbicaraan kes Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali yang didakwa atas pertuduhan mengabai dan menganiaya seorang kanak-kanak perempuan Sindrom Down.
Menurut Zurianty yang juga rakan Siti Bainun, Bella memaklumkan demikian ketika dalam ambulans sewaktu ditanya apa yang berlaku.
“Bella yang memanggil saya ‘mommy’ mengatakan dia `dicili’, dijirus dengan air panas dan kena ikat,” ujar saksi itu sambil menangis ketika memberi keterangan pada sesi pemeriksaan utama.
Kata Zurianty, setibanya di HKL, dia melihat keadaan Bella seperti tidak mampu berjalan selain remaja itu turut mengadu kakinya sakit.
Tambah saksi, sepanjang Bella berada di hospital, Siti Bainun tidak pernah bertanyakan keadaan Bella sebaliknya hanya bertanyakan mengapa mengambil anak-anak angkatnya dan dihantar ke pusat kuarantin di Maeps, Serdang.
Pada prosiding sama, semasa ditanya mengenai hubungan Siti Bainun dan Bella, saksi itu mengatakan, pada mulanya hubungan mereka sangat baik apabila Siti Bainun dilihat sangat sayangkan Bella.
“Siti Bainun pandai ambil hati Bella apabila suka membeli barangan solekan dan baju baharu.
“Namun sekitar Ogos 2020 saya mula lihat mereka tidak berapa mesra selepas Siti Bainun enggan membawa Bella berjalan ke Kuala Selangor untuk ke rumah abang iparnya (Siti Bainun),” ujar saksi yang mengenali Siti Bainun sejak tahun 2015.
Tambah saksi itu, ekoran keengganan Siti Bainun membawa Bella, dia ada bertanya kepada Siti Bainun mengapa bertindak sedemikian namun wanita itu memberitahu Bella suka ‘buat perangai dan degil’.
Berikutan itu, ujar saksi dia kemudian mempelawa Bella menaiki keretanya ke Kuala Selangor.
Sementara itu, menyentuh mengenai deskripsi (gambaran terperinci) berkaitan Bella, saksi itu berkata meskipun Bella menghidap Sindrom Down, dia seorang remaja perempuan yang sangat rajin, berdikari serta boleh menguruskan diri sendiri seperti solat dan sangat pembersih.
Perbicaraan di hadapan Hakim Izralizam Sanusi bersambung esok.
Dalam prosiding hari ini pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Zilfinaz Abbas manakala pembelaan diwakili peguam Nur Aminahtul Mardiah Md. Nor.
Siti Bainun, 30, didakwa sebagai orang yang dipertanggungjawab untuk menjaga kanak-kanak perempuan berusia 13 tahun telah mengabaikan iaitu dengan menyebabkan kanak-kanak itu mengalami kecederaan fizikal dan emosi.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah unit rumah kondominium di Seksyen 10, Wangsa Maju di sini antara bulan Februari dan Jun 2021.
Dia didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah seksyen sama.
Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Pada 25 November 2021, Siti Bainun turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menganiaya remaja sama sehingga menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal dan emosi pada tempat dan tarikh sama. – UTUSAN