Bekas timbalan pengarah kanan DBKL diperintah bela diri terhadap dua pertuduhan rasuah - Utusan Malaysia

Bekas timbalan pengarah kanan DBKL diperintah bela diri terhadap dua pertuduhan rasuah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan seorang bekas timbalan pengarah kanan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membela diri terhadap dua pertuduhan rasuah melibatkan wang tunai berjumlah RM200,000 kerana mengeluarkan permit kerja kepada sebuah syarikat.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan memutuskan demikian terhadap Sabudin Mohd Salleh, 60, selepas membenarkan rayuan pendakwa raya.

Sabudin sebelum itu berjawatan Timbalan Pengarah Kanan (Awam), Jabatan Kejuruteraan Awam dan Pengangkutan Bandar DBKL.

Hakim Mohamed Zaini mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen pada 18 Disember 2020 yang melepas dan membebaskan Sabudin daripada kedua-dua pertuduhan tanpa dipanggil membela diri.

Sehubungan itu, beliau mengembalikan kes itu ke Mahkamah Sesyen di sini agar hakim bicara mendengar keterangan pihak pembelaan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin memaklumkan pihak responden memfailkan satu lagi penghujahan bertulis semalam dan seterusnya dihantar melalui e-mel kepada pihak pendakwaan.

Bagaimanapun, tiada maklumat sebelum ini bahawa penghujahan lanjut akan difailkan oleh kedua-dua belah pihak.

Sementara itu, peguam K. Theivaendran yang mewakili Sabudin memohon maaf terhadap kelewatan memfailkan hujahan lanjut.

Hakim Mohamed Zaini menerima permohonan maaf itu namun memaklumkan beliau telah menyediakan keputusannya.

“Saya terima permohonan maaf namun tidak adil jika saya membaca hujahan lanjut dan tidak adil juga kepada pihak pendakwaan. Saya sudah bersedia dengan keputusan,” jelasnya.

Selain Wan Shaharuddin, pihak pendakwaan turut diwakili Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya Natrah Fareha Rahmat dan Mohd. Shahrom Idris.

Bagi setiap pertuduhan, Sabudin, 60, didakwa memperoleh suapan iaitu wang tunai berjumlah RM200,000 daripada Wong May Kuan sebagai upah mengeluarkan permit kerja kepada Dusari Niaga.

May Kuan merupakan subkontraktor kepada Dusari Niaga yang melaksanakan ‘Cadangan Kerja-kerja Pengisaran dan Penurapan Semula Jalan bagi Bekas Lubang Gali Syarikat Utiliti Di Sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur untuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur Bagi Tahun 2018/2020 (2017/A214)’.

Tuduhan pertama, dia didakwa melakukan perbuatan itu pada 9 Jun 2018 di Kedai Serbaneka ‘Treats’ di sebuah stesen minyak, Jalan Lingkaran Tengah 2, Bukit Antarabangsa di sini.

Tuduhan kedua pula didakwa dilakukan di hadapan kediamannya di Ukay Perdana, Ampang, pada 17 Januari 2019.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta yang sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya