Bekas guru dipenjara 30 tahun, 2 sebatan rogol murid 12 tahun - Utusan Malaysia

Bekas guru dipenjara 30 tahun, 2 sebatan rogol murid 12 tahun

gombak setia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Seorang bekas guru berusia 58 tahun diperintah menjalani hukuman penjara berjumlah 30 tahun dan dikenakan dua sebatan atas dua kesalahan merogol seorang murid berusia 12 tahun di sebuah chalet di Papar, Sabah, lapan tahun lalu.

Bagi setiap kesalahan, Mahkamah Rayuan hari ini memerintahkan Zalani Amit menjalani hukuman penjara 15 tahun dan satu sebatan. Hukuman berkuat kuasa secara berturut-turut.

Keputusan sebulat suara itu dicapai oleh panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Abdul Karim Abdul Jalil selepas membenarkan rayuan akhirnya terhadap hukuman.

Beliau yang bersidang bersama-sama Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Supang Lian secara dalam talian, bagaimanapun menolak rayuan Zalani terhadap sabitan.

Mahkamah mendapati sabitan bagi tuduhan ketiga dan keempat selamat untuk dikekalkan selepas berpuas hati rayuan bekas guru tersebut tiada merit.

Pada prosiding itu, panel berkenaan turut menolak rayuan silang pendakwa raya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskan Zalani terhadap dua lagi tuduhan merogol mangsa yang sama.

Ketika membacakan keputusan itu, Hakim Abdul Karim berpendapat Mahkamah Tinggi tidak terkhilaf dalam keputusannya yang membolehkan panel berkenaan campur tangan dan mengubahnya.

Zalani diwakili oleh peguam Ram Singh manakala pihak pendakwaan diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya Zaki Asyraf Zubir.

Terdahulu, Ram berhujah, kegagalan pihak pendakwaan memanggil seorang pekerja chalet warganegara Indonesia bernama Maria sebagai saksi, mencacatkan kes pendakwaan.

Bagaimanapun, Zaki Asyraf berhujah, meskipun Maria tidak dipanggil ke mahkamah, keterangan mangsa adalah menyakinkan berhubung kejadian rogol.

Hujah pendakwaan, perayu tidak pernah menafikan membawa murid berkenaan ke chalet tersebut atas alasan untuk mengadakan kelas tambahan manakala keterangan bekas guru itu bahawa mangsa selesa di chalet itu merupakan sesuatu yang pelik.

Pada 30 Oktober 2017, Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu menjatuhi hukuman penjara berjumlah 72 tahun dan empat sebatan terhadap bekas guru itu yang didapati bersalah merogol mangsa yang ketika kejadian berusia 12 tahun.

Hakim Noor Hafizah Mohd. Salim memerintahkan Zalani dipenjarakan selama 18 tahun dan satu sebatan bagi setiap kesalahan. Hukuman dijalankan secara berturut-turut.

Zalani didapati bersalah atas empat pertuduhan merogol kanak-kanak itu di antara 29 Ogos dan 18 Oktober 2014 di sebuah chalet di Kinarut, Papar.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN