Bebas Muda mahu didik belia Pulau Pinang dalami ilmu politik - Utusan Malaysia

Bebas Muda mahu didik belia Pulau Pinang dalami ilmu politik

OOI Boon Sheng (kanan) diberi tanggungjawab untuk mempengerusikan Belia Muda dalam usaha mendidik generasi muda mengenai hal-ehwal politik.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM: Ketika rata-rata golongan belia di Pulau Pinang dikatakan masih ‘tercari-cari’ maklumat atau ilmu yang boleh dijadikan pegangan dalam berpolitik, sekumpulan anak muda di sini memberanikan diri mengambil inisiatif menubuhkan gerakan berkaitan bagi tujuan itu.

Dikenali sebagai Bebas Muda, gerakan yang diklasifikasikan sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu dianggotai kira-kira 25 individu daripada pelbagai latar belakang akademik tanpa mengira agama dan kaum.

Pengerusinya, Ooi Boon Sheng berkata, kebanyakan ahli pertubuhan itu merupakan pemimpin di peringkat universiti atau belia serta pernah berkhidmat sebagai pegawai khas kepada menteri selain pegawai kepada Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Katanya, matlamat asal penubuhan Bebas Muda adalah bagi menyemai kesedaran mengundi kalangan generasi muda selain memperkasa pembabitan mereka dalam komuniti serta politik.

“Dalam Bebas Muda sendiri sebagai contoh, Setiausaha Agungnya iaitu Jasmine atau Noor Asmiedar Harun merupakan penuntut di peringkat sarjana bidang sains politik dengan pengkhususan mengenai pembabitan belia dalam politik.

“Selain itu, salah seorang daripada Naib Pengerusi kami iaitu R. Kalaiarrasan merupakan seorang pemimpin komuniti yang sangat aktif dalam kerja-kerja sosial serta kemasyarakatan ketika ini,” katanya selepas majlis pelancaran NGO itu yang turut disertai ADUN Bukit Tengah, Gooi Hsiao Leung dan aktivis politik, Adam Adli Abdul Halim.

Jelas Boon Sheng, meskipun boleh dianggap sebagai sebuah NGO yang berpaksikan politik, namun Bebas Muda tidak terikat dengan mana-mana parti politik atau kerajaan dan membenarkan setiap ahlinya menyuarakan idea, pandangan serta aspirasi masing-masing secara bebas.

“Dalam hal ini, kami lebih memfokuskan kepada usaha mendidik generasi muda supaya menjadi lebih celik tentang ilmu politik di samping menyemai kesedaran awal kepada mereka mengenai kepentingan keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) terutamanya dalam kalangan pengundi baharu,” katanya.

Sementara itu, Boon Sheng memberitahu, meskipun baru bertapak, Bebas Muda mempunyai impian yang tinggi iaitu untuk memastikan seramai 7,974 pengundi khususnya dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Tengah berjaya ‘didekati’ dalam masa tiga bulan.

“Kita pilih Bukit Tengah sebagai lokasi permulaan dan sekiranya sasaran ini berjaya dicapai, kita akan cuba untuk kawasan lain pula secara berperingkat. Apa yang penting kita mahu mendekati seramai mungkin generasi muda untuk mendidik mereka mengenai ilmu politik yang betul,” katanya yang memberitahu, hampir semua ahli Bebas Muda ketika ini merupakan anak kelahiran Pulau Pinang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya