Batik Inderapura sentuhan Raja Permaisuri Agong

Batik Inderapura sentuhan Raja Permaisuri Agong

Batik Inderapura
PAMERAN Sentuhan Permaisuri: Explorasi dan Eksperimentasi Batik Inderapura yang diadakan sempena Hari Kraf Kebangsaan, di Kuala Lumpur. – UTUSAN/MOHD. FARIZWAN HASBULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Koleksi Batik Inderapura hasil sentuhan dan kreativiti Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang dipamerkan pada Hari Kraf  Kebangsaan 2022 di Kompleks Kraf Kuala Lumpur mendapat sambutan luar biasa.

Rata-rata pengunjung Hari Kraf Kebangsaan 2022 yang telah berlangsung sejak 23 Februari lalu tidak melepaskan peluang melihat sendiri keunikan hasil tangan dan cetusan idea Raja Permaisuri Agung yang yang diterjemahkan melalui cantingan batik.

Pengarah Kanan Institut Kraftangan Negara (IKN), Abdul Halim Ali berkata, sebanyak 38 helai koleksi Batik Inderapura dipamerkan pada Hari Kraf  Kebangsaan 2022  sehingga 7 Mac ini dengan bertemakan Sentuhan Permaisuri: Explorasi dan Eksperimentasi Batik Inderapura.

Abdul Halim berkata, pameran berkenaan mengetengahkan batik cantingan tangan dan cetakan blok oleh Raja Permaisuri Agong dengan menggunakan fabrik yang
berbeza seperti satin, crepe de chine, sutera dan linen.

Kata Abdul Halim, keunikan koleksi yang dipamerkan itu adalah reka corak dan teknik batik tersebut dihasilkan secara eksperimental dan spontan Raja Permaisuri ketika mencanting termasuk pilihan warna yang tersendiri.

“Koleksi yang dipamerkan menampilkan pelbagai teknik terap (batik blok), melukis dan mewarna batik yang digunakan Tuanku Hajah Azizah berdasarkan pengalaman Seri Paduka termasuk beberapa teknik baharu boleh diangkat sebagai identiti batik Pahang.

“Antaranya ialah teknik sapuan warna secara berlapis dengan pola corak beragi dan berjalur seperti yang terdapat pada kain Tenun Pahang Diraja, selain teknik sapuan warna berlapis yang diolah secara vertikal, horizontal dan bersilang menghasilkan kesan tona warna berbeza.

“Gabungan teknik membatik yang berbeza secara eksperimental dan spontan inilah, Tunku Hajah Azizah menghasilkan satu identiti batik unik untuk negeri Pahang atau dikenali  dengan nama Batik Inderapura,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Karakter

Menurut Abdul Halim, kira-kira 14 batik dibuat secara berpasangan untuk dijadikan pakaian lelaki dan wanita, tiga bagi kemeja lelaki dan tujuh kain pasang wanita selain terdapat skaf yang dilukis Seri Paduka ketika berada di London, turut dipamerkan.

Selain itu kata Abdul Halim, setiap helaian kain batik yang dihasilkan oleh Raja Permaisuri Agong mempunyai karakter dan cerita tersendiri dan kesemua koleksi itu dihasilkan bermula sebelum negara dilanda Covid-19 sehinggalah awal bulan lalu.

“Baginda menghasilkan koleksi batik ini di IKN Rawang dan mengambil masa tiga hingga empat hari untuk menyiapkan sehelai batik dengan corak dan hasil yang berbeza.
“Sepanjang proses  menghasilkan batik khas ini, baginda dibantu oleh usahawan batik, Yus Faizal Rahim dan juga beberapa orang lagi pembantu. Tuanku menyiapkan batik secara berterusan di setiap bahagian fabrik dan melapiskan warna satu demi satu pada batik ,” katanya.

Selain itu katanya, pengalaman Raja Permaisuri Agong berkaitan kain Tenun Pahang Diraja juga memberi kelebihan kepada baginda untuk menerapkan beberapa elemen reka corak tenunan ini dalam reka corak batik yang dihasilkan.

Sementara itu katanya, penglibatan dan minat Raja Permaisuri Agong kepada seni batik telah menaikkan lagi nilai seni budaya negara itu ke peringkat lebih tinggi.

“Saya difahamkan, koleksi Batik Inderapura selepas ini akan dipamerkan di London pada Mei nanti. Baginda juga merancang untuk memberikan tunjukan ajar kepada banduan untuk komersialkan Batik Inderapura dengan penjara Kelantan menjadi perantis,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai Hari Kraf Kebangsaan 2022, Abdul Halim berkata, ruang pameran dibuka bermula pukul 10 pagi hingga 10 malam dan kemasukan  adalah percuma.

“Pelbagai aktiviti dilaksanakan  seperti Pameran Tokoh Kraf 2022, Demonstrasi Kembang Api, Pameran Khas-Ratu Kain, Pameran Institut Kraf Negara, Pameran Seni Kraf Anyaman, Pameran Produk Baharu dan Pameran Produk Komuniti Kraf,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya