KANGAR: Memorandum persefahaman (MoU) kerajaan dengan pembangkang lebih baik dibatalkan seterusnya segera diadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, hal demikian apabila dalam kalangan ahli Parlimen kerajaan sendiri dilihat sengaja tidak hadir ketika sesi pengundian di Parlimen baru-baru ini.
Zahidi berkata, pihaknya mendapat maklumat ada kumpulan dari kerajaan dalam kalangan UMNO sendiri sengaja tidak hadir ketika sesi pengundian usul lanjutan tempoh kuat kuasa Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) di Parlimen sekali gus menyebabkan usul kerajaan itu tewas.
Katanya, tindakan tersebut menunjukkan mereka tidak bersetuju dengan usul yang dibawa Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu.
“Dapat dilihat yang sengaja (ahli Parlimen) tidak hadir pun ada kononnya tidak setuju ngan Bersatu dan antaranya Presiden (UMNO) sendiri pun tidak hadir.
“Apabila berlaku keadaan seperti itu, lebih baik bubar sahaja (Parlimen) memandangkan dalam sama-sama kerajaan pun tidak bersetuju.
“Untuk kebaikan kerajaan dan negara sendiri segerakan sahaja PRU-15. Apabila berlaku situasi seperti ini, keyakinan pelabur pun kurang, politik juga tidak stabil. Kalau tidak ada kestabilan, tidak ada pelabur yang ingin melabur di negara kita,” katanya di sini hari ini.
Pada Rabu lalu, kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri gagal mendapatkan sokongan ahli Dewan Rakyat untuk melanjutkan tempoh kuat kuasa subseksyen 4(5) Akta SOSMA selama lima tahun lagi dan mengekalkan tempoh tahanan selama 28 hari kerana 86 ahli Parlimen tidak bersetuju berbanding 84 bersetuju.
Pun begitu, keesokannya, keputusan undian bagi yang menyokong usul itu dipinda kepada 85 dan 49 ahli Parlimen tidak hadir setelah berlaku kekhilafan, namun ia tidak mengubah kemenangan memihak kepada pembangkang.
Daripada jumlah wakil rakyat yang tidak hadir, seramai 31 ahli Parlimen kerajaan ponteng sebelum undian dimulakan, antaranya ialah Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (BN-Bagan Datuk); Datuk Seri Najib Tun Razak (BN-Pekan); Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian); Datuk Seri Tengku Adnan Mansor (BN-Putrajaya) dan Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan).
Tambah Zahidi yang juga Ketua UMNO Bahagian Padang Besar, hasrat untuk menyegerakan PRU-15 juga selaras dengan kehendak perwakilan yang disampaikan dalam Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini. – UTUSAN