Barisan Exco muda tidak perlu dipertikai - Mohd. Hairi

Barisan Exco muda tidak perlu dipertikai – Mohd. Hairi

MOHD. Hairi Mad Shah (tengah) ketika hadir memulakan tugas rasmi sebagai Exco di Ibu Pejabat Sekretariat Sukma Johor di Iskandar Puteri, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Pelantikan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor (Exco) yang terdiri daripada golongan muda tidak harus menjadi pertikaian mahupun bahan politik mana-mana pihak kerana mendapat perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri, Mohd. Hairi Mad Shah berkata, pelantikan barisan pentadbir negeri yang terdiri daripada sebahagian besar golongan muda itu juga bukanlah isu baharu.

“Tidak timbul isu pelantikan ini melanggar kebiasaan kerana Johor unik dengan Undang-Undang Tubuh Negeri dan peranan Sultan Johor. Benar dalam parti (UMNO) ada jawatan Presiden dan ditetapkan menjadi keutamaan, namun di Johor kita tidak boleh melanggar institusi diraja.

“Jadi tidak seharusnya timbul sebarang pertikaian berhubung perkara ini,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Sekretariat Sukan Malaysia (Sukma) Johor, di sini hari ini. 

Terdahulu, beliau memulakan tugas secara rasmi selepas mengimbas kad perakam waktu di pejabat itu yang turut dihadiri Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk On Jabbar.

Mohd. Hairi yang juga Ketua Pemuda UMNO Johor menjawab pertanyaan sama ada pelantikan muka baharu itu melanggar kebiasaan Barisan Nasional (BN) yang mengutamakan senioriti dalam sesuatu jawatan kerajaan.

Katanya, tempoh berpolitik telah tamat dan kini tumpuan seharusnya diberi kepada pembangunan dan kemajuan negeri Johor.

Dalam perkembangan lain, Mohd. Hairi berkata, beliau akan berbincang dengan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor bagi menjayakan perancangan membenarkan venue yang dibina bagi penganjuran Sukma Johor disewa untuk pelbagai aktiviti kesukanan 

“Seperti kita tahu, venue Sukma Johor dibawah pentadbiran Majlis Sukan Negeri Johor memang akan disewakan kepada umum, contohnya velodrom yang telah mula dibuka hari ini di mana seramai 50 individu telah mendaftar untuk menggunakan fasiliti berkenaan.

“Namun ada antara venue berkenaan berada di bawah pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT), jadi saya akan mengadakan pertemuan dengan exco berkenaan untuk membincangkan perkara ini,” ujarnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya