Bapa buka pusat latihan memandu demi anak - Utusan Malaysia

Bapa buka pusat latihan memandu demi anak

MOHD. Yusof Aziz di depan Pusat Latihan Memandu Rembau yang diusahakannya. - UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU: Semuanya bermula apabila anaknya meminta izin untuk mengambil lesen memandu pada 2017.

Demikian ‘alasan’ yang mendorong seorang bapa untuk membuka sendiri sebuah pusat latihan memandu, setahun kemudiannya.

Berkongsi kisah, Pengusaha Pusat Latihan Memandu Rembau, Datuk Mohd. Yusof Aziz, 57, berkata, anak kelimanya, Adiba Yusra pada ketika itu ingin mengambil lesen memandu selepas tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Bagaimanapun, beliau tidak memberikan keizinan kerana beranggapan mampu menghantar sendiri ke mana sahaja anaknya itu mahu pergi selain dia sendiri turut mempunyai pemandu peribadi.

“Saya sempat berseloroh kepadanya yang saya akan membina sebuah pusat latihan memandu supaya dia dapat mengambil lesen memandu di situ.

“Dia memang tidak percaya namun setahun kemudian ia menjadi realiti dan anak saya menjadi pelajar pertama kelas memandu yang mengambil lesen di sini,” katanya kepada Utusan Malaysia di Pusat Latihan Memandu Rembau di sini semalam.

Menurut Mohd. Yusof, pada awalnya dia merancang untuk membangunkan projek perumahan di atas sebidang tanah yang kini menjadi pusat latihan memandu tersebut.

“Alhamdulillah saya bersyukur, kini sejak dibuka, seramai 400 orang pelajar mengikut kelas memandu di sini pada setiap bulan dan kini ia merupakan satu-satu institut latihan memandu yang ada di daerah Rembau,” katanya.

Dalam pada itu, menyedari peranan dan tugas yang dijalankan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) kepada orang ramai, beliau turut mengambil inisiatif mengadakan Program Pengambilan Lesen Memandu Kenderaan Motosikal Secara Berkelompok khusus untuk anggota Rela.

“Saya bekerjasama dengan pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan kerana saya dimaklumkan, ramai anggota Rela di beberapa daerah masih tidak mempunyai lesen memandu. Diharapkan program yang diadakan sedikit sebanyak dapat memberi peluang kepada mereka untuk mendapatkan lesen,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya