Bapa Baby Syifaa beri masa dua minggu - Utusan Malaysia

Bapa Baby Syifaa beri masa dua minggu

YUSERI Yusoff (kiri) diiringi peguam pemerhatinya dalam sidang akhbar di Seremban 2, Seremban, hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Bapa kepada seorang bayi perempuan berusia setahun tiga bulan yang mendakwa anaknya dijerut dan bukannya meninggal dunia disebabkan kepala terjerut pada kain buaian, memberi masa dua minggu kepada pihak polis untuk mengemukakan hasil siasatan selanjutnya.

Kejadian menyayat hati itu berlaku ketika bayi itu, Nour Rania Asyifaa Yuseri berada di bawah jagaan sebuah pusat asuhan di Taman Nusari Aman, Bandar Sri Sendayan di sini, bulan lalu.

Yuseri Yusoff, 39, sebelum itu hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban pada pukul 3 petang tadi bersama dua orang peguam pemerhati, Muhammad Amin Anuar dan Musfira Mohd. Fahmi bagi memberi keterangan berdasarkan laporan polis yang dibuatnya pada 28 Mac lalu di IPD Sentul.

Mereka kemudiannya selesai memberi kenyataan kepada pihak polis selepas hampir tiga jam iaitu pada pukul 5.45 petang.

Menurut Yuseri, walaupun selepas 37 hari Nour Rania Asyifaa meninggal dunia, masih tiada mana-mana individu direman atau didakwa berhubung kes itu yang telah menyebabkan kematian.

“Polis berjanji satu siasatan yang adil akan dijalankan iaitu individu bertanggungjawab akan dibawa kepada pihak pendakwaan.

“Kami hanya ingin jernihkan keadaan dan lebih kepada mahu menuntut pembelaan. Saya telah berbincang dengan peguam pemerhati dan kami beri masa dua minggu kepada polis (untuk kemukakan siasatan),” katanya ketika ditemui di pekarangan IPD Seremban di sini hari ini.

Yuseri berkata, beliau dimaklumkan bahawa kertas siasatan kes sudah diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara namun belum dipastikan kes akan dituduh di bawah seksyen apa dan beliau memberi ruang kepada pihak polis untuk membuat siasatan.

Sementara itu, peguam pemerhati yang mewakili bapa bayi itu, Muhammad Amin berkata, kebiasaannya dalam mana-mana kes sekali pun akan ada suspek ditahan reman untuk siasatan lanjut sebaik laporan polis dibuat. -UTUSAN

Bagaimanapun beliau berkata, berbeza dengan kes ‘Baby Syifaa’ kerana sehingga kini tiada sebarang pendakwaan dibuat dan ia menimbulkan keraguan kepada pihak keluarga. 

“Kami bersetuju beri ruang kepada polis untuk menjalankan siasatan dan jika tiada sebarang perkembangan selepas tempoh dua minggu, kami akan ambil tindakan selanjutnya berlandaskan undang-undang.

“Kami menghormati polis dan sistem keadilan. Cumanya tertanya-tanya kenapa kes ini yang mempunyai bukti serta berdasarkan pandangan dan daripada nasihat pakar forensik berhubung kematiannya (bayi) kenapa tiada nampak perkembangan selanjutnya, seolah-olah ada kelompongan,” katanya. 

Muhammad Amin berkata, sehubungan itu jika tiada perkembangan lanjut, pihaknya akan mengemukakan cadangan supaya inkues diadakan termasuk melakukan autopsi semula ke atas mayat anak guamnya. 

“Saya berharap anak guam saya mendapat keadilan dan sekurang-kurangnya ada pendakwaan dibuat,” katanya

Menerusi hantaran di Facebook, Yuseri mendakwa bayinya dijerut bukannya terjerut serta berkongsi tanda pagar #Justice4BabySyifaa.

Sebelum ini, media melaporkan, Nour Rania Asyifaa Yuseri ditemui tidak sedarkan diri pada pukul 3 petang di dalam buaian di sebuah bilik di pusat asuhan di Taman Nusari Aman, Bandar Sri Sendayan pada 22 Februari lalu. 

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, berdasarkan siasatan awal, sebelum itu mangsa telah diberi susu oleh pengasuh dan dimasukkan ke dalam bilik tidur bersama dua kanak-kanak lain pada pukul 12.30 tengah hari.

“Mangsa ditidurkan dalam buaian dan dua kanak-kanak lain ditidurkan dalam buaian jenis ‘rocker’.

“Selepas itu pengasuh keluar dari bilik pada pukul 2 petang untuk melakukan tugas-tugas lain, katanya. 

Menurutnya, pada pukul 3 petang, pengasuh masuk semula ke dalam bilik dan mendapati mangsa dengan keadaan kepala tersangkut pada kain buaian.

Jelasnya, pengasuh kemudian telah melakukan bantuan kecemasan kepada bayi terbabit namun mangsa didapati tidak bernafas.

Dia kemudian telah membawa mangsa ke Klinik Kesihatan Sendayan untuk pemeriksaan lanjut namun doktor yang merawat mengesahkan bayi itu telah meninggal dunia pada pukul 4.30 petang.-UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya