Bantah lokasi baharu surau - Utusan Malaysia

Bantah lokasi baharu surau

HAMIDAH Osman (tiga dari kanan) bersama jawatankuasa Surau Al Karamah membantah pemindahan surau itu ke lokasi yang tidak sesuai di Kampung Sri Keramat, Pasir Puteh di Ipoh hari ini. - UTUSAN/ LIYANA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Penduduk dan Ahli Jawatankuasa Surau Al-Karamah, Kampung Sri Keramat, Pasir Puteh di sini membantah lokasi baharu surau yang dicadangkan kerajaan negeri bagi menggantikan surau lama yang akan dirobohkan.

Setiausaha surau itu, Abdullah Khalbi berkata, kerajaan negeri sepatutnya mengambil kira beberapa perkara sebelum mencadangkan lokasi surau baharu untuk penduduk.

“Lokasi baharu surau yang dicadangkan itu ialah satu lot rumah bekas Tadika Kemas dan ini sudah tentu akan menimbulkan masalah. Akan timbul isu parkir dan jika mahu mendirikan Jumaat, pasti banyak kenderaan bersusun, mana mungkin parkir depan rumah orang?” Soalnya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurutnya, pada 30 Disember lalu, kerajaan negeri telah mesyuarat bersama Ahli Jawatankuasa Surau dan pada ketika itu, lokasi dan reka bentuk surau telah pun ditetapkan. 

“Tujuan mesyuarat itu mahu berbincang tetapi kenapa keputusan telah pun ditetapkan? Ini bermakna ia bukannya mesyuarat tetapi lebih kepada arahan untuk kami bersetuju. Dalam mesyuarat itu akan ada wakil kerajaan yang akan meninjau keadaan surau di sini tetapi sudah tiga bulan, tiada apa apa daripada kerajaan negeri,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi surau, Ahmad Tarmizi Abdul Rahman berkata, surau itu dibina hampir 40 tahun dan didaftarkan pada tahun 2012 selain dibenarkan oleh Jabatan Agama Islam negeri untuk mendirikan solat Jumaat.

“Kita minta kerajaan negeri memandang serius isu ini kerana sudah berlarutan tetapi masih tiada penyelesaian. Isu ini sudah seperti bola, kejap ke sana, kejap ke mari, kami hanya mahukan surau ini di sini bukannya di tempat lain yang tidak sesuai,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) negeri, Datuk Hamidah Osman berkata, kerajaan seharusnya mengambil berat terhadap isu surau itu, apatah lagi isu itu mendapat perhatian Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

“Tetapi sehingga hari ini tiada penyelesaian. Tiada satu pun kaedah yang bernas daripada kerajaan negeri. Kerajaan negeri sepatutnya menyelasaikan isu ini dengan baik bukannya sekadar melepas batuk di tangga. Bulan Ramadan tak lama lagi, Putra mahu Jabatan Agama Islam negeri, Pejabat Tanah dan jabatan berkaitan untuk memandang serius isu ini,” katanya.

Sebelum ini, kariah Surau Al-Karamah membabitkan kira-kira 1,500 penduduk Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT) Toh Chendang, Sri Murni dan Sri Keramat membantah perobohan surau sedia ada yang didakwa ingin dipindahkan ke lokasi tidak sesuai. Berikutan itu, Sultan Perak menzahirkan titah supaya perobohan dan pemindahan itu ke tapak baharu perlu mengambil kira hasil perundingan bersama jawatankuasa surau itu selain penduduk di kawasan berkaitan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya