Banjir: Pantau menerusi peta hazard, peta risiko banjir

Banjir: Pantau menerusi peta bencana, peta risiko banjir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Alam Sekitar dan Air sedang melaksanakan penilaian risiko bencana banjir berdasarkan unjuran perubahan iklim melalui inisiatif peta bencana banjir dan peta risiko banjir.

Menterinya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, penilaian risiko itu dibuat menerusi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) merangkumi 36 lembangan sungai utama yang siap dibangunkan. 

Beliau berkata, bagi kawasan Lembah Klang, peta hazard bagi enam lembangan sungai siap dibangunkan manakala peta risiko banjir bagi lembangan Sungai Bernam juga telah siap.

“Pembangunan peta hazard dan peta risiko ini dijangka siap pada tahun 2024 dan dikemas kini secara berterusan,” katanya di Dewan Rakyat bagi menjawab pertanyaan Datuk Mohd. Nizar Zakaria (BN-Parit).

Nizar hari ini bertanya sejauh manakah kementerian melaksanakan kajian kemungkinan perubahan iklim drastik dengan bencana alam yang lebih kerap pada masa akan datang dan bagaimanakah tahap kesiapsiagaan sistem amaran bencana di Malaysia.

TUAN IBRAHIM TUAN MAN

Menurut Tuan Ibrahim, jabatan dan agensi di bawah kementerian seperti JPS dan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) sentiasa peka dan berusaha meningkatkan tahap kesiapsiagaan menghadapi bencana seperti banjir. 

Katanya, melalui jabatan dan agensi ini, kementerian sentiasa bekerjasama dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) selaku urus setia Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) selaras dengan Arahan Majlis Keselamatan Negara No. 20. 

“JPS dan MET Malaysia juga sentiasa menyenggara dan menambah baik tahap kesiapsiagaan sistem amaran di bawah seliaan jabatan terbabit. Hebahan maklumat cuaca dan banjir serta amaran awal kepada pasukan penyelamat akan ditambahbaik dengan segera dan penyelarasan bersama pemegang taruh akan dipertingkat,” katanya.

Dalam pada itu katanya, Malaysia sememangnya terdedah kepada kejadian banjir kerana bentuk muka bumi serta sistem iklim yang mempunyai kadar kelembapan yang tinggi dan perubahan iklim akan meningkatkan lagi tahap ancaman negara kepada risiko bencana termasuk bencana banjir. 

“Hasil kajian Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (Nahrim) juga mendapati akan berlaku peningkatan intensiti maksima lebat hujan yang akan memberi kesan kepada tahap perlindungan rekabentuk banjir terhadap sistem saliran sediada serta binaan infrastruktur berkaitan air,” katanya. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya