Bangun semula Bukit Malut jadi kampung tersusun

Bangun semula Bukit Malut jadi kampung tersusun

SEBAHAGIAN rumah yang dibina secara haram di tanah milik Permodalan Kedah Berhad di Bukit Malut, Langkawi. – UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Penempatan haram di Bukit Malut di sini perlu dibangunkan semula menjadi sebuah perkampungan yang tersusun untuk keselesaan dan keselamatan penduduk di kawasan itu.

Pengerusi Yayasan Pembangunan Insan Langkawi, Datuk Mohd. Rawi Abd. Hamid berkata, penduduk terlibat selepas ini boleh dikekalkan di kawasan itu dengan mewujudkan sebuah perkampungan tersusun dan bersih.

Menurutnya, pada masa ini, keadaan di penempatan itu berada dalam keadaan tidak tersusun, tidak terurus serta kotor.
Jelasnya, keadaan rumah dibina penduduk semakin padat sehingga menyukarkan kenderaan bomba dan ambulans memasuki kawasan itu sekiranya berlaku kecemasan seperti kebakaran.

“Penempatan itu perlu disusun semula dengan membuat laluan secara elok dan menjarakkan rumah-rumah mereka, tidak mustahil kawasan tersebut boleh menjadi destinasi pelancongan seperti Kampong Ayer di Brunei,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.

Akhbar ini pada 7 Mac lalu melaporkan penduduk di per­kampungan haram Bukit Malut kecewa terhadap kerajaan ne­geri yang lambat bertindak dalam menyelesaikan isu penempatan di kawasan itu yang semakin padat.

Kebanyakan penduduk ter­ba­bit yang mendakwa bukan pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar, sebaliknya merupakan rakyat Malaysia mahu diberi perhatian memandangkan mereka selama ini dipinggirkan oleh kerajaan.

Mohd. Rawi yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Hangat berkata, kerajaan menerusi Majlis Kese­lamatan Negara (MKN) perlu mempunyai perancangan lebih komprehensif bagi memastikan isu-isu yang membelenggu penduduk di penempatan itu dapat ditangani sepenuhnya.

Katanya, antara isu tersebut adalah masalah sosial, penagihan dadah dan jenayah serta kesedaran sivik rendah dalam kalangan penduduk.

“Kalau pindahkan mereka ini ke kawasan lain pun, mungkin akan ada isu melibatkan penduduk terlibat di kawasan baharu nanti,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, sebuah pos polis perlu didirikan di perkampungan tersebut untuk menempatkan anggota polis dan pegawai MKN dalam tempoh 24 jam setiap sehari.

Katanya, penempatan anggota terlibat dapat membendung kegiatan penagihan dadah dan jenayah di perkampungan tersebut.

“Dengan cara itu, kemasukan PATI ke kawasan tersebut dapat dipantau,” katanya. UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya