MELAKA: Kejadian gempar ratusan bangkai ikan ditemui terdampar di Pantai Telok Gong, Alor Gajah di sini semalam merupakan ikan Tamban Pias yang dipercayai dibuang nelayan kerana tidak mempunyai nilai komersial.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali berkata, sampel bangkai ikan telah diambil Unit Biosekuriti Perikanan, Jabatan Perikanan negeri bagi tujuan persampelan oleh Pegawai Penyelidik Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) Batu Maung, Pulau Pinang.
Katanya, hasil ujian makmal bagaimanapun tidak menjumpai sebarang faktor pencemaran alam sekitar yang menyebabkan kematian ikan tersebut, sebaliknya dipercayai hasil laut itu telah dibuang nelayan.
“Pada pukul 9 malam tadi, Unit Biosekuriti Perikanan telah mengambil sampel dan didapati hanya satu spesies ikan iaitu dikenali sebagai Tamban Pias oleh penduduk tempatan.
“Ulasan diberikan adalah ikan ini rata-ratanya bersaiz lima inci dan tiada kemungkinan disebabkan pencemaran, sebaliknya adalah tindakan nelayan membuang ikan tersebut,” katanya pada sidang akhbar di Seri Negeri, Ayer Keroh, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Sulaiman berkata, ikan tersebut dipercayai dibuang kerana ia tidak mempunyai nilai dalam pasaran.
“Ini disebabkan sifat semula jadi ikan ini yang mempunyai bau hanyir, rasa tawar dan tulang terlalu banyak.
“Mengenai dakwaan kononnya berlaku tumpahan minyak, pemeriksaan telahpun dilakukan dan kita tidak menjumpai tanda-tanda pencemaran di sepanjang pantai malah keadaan air juga normal,” jelasnya.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, penduduk di Telok Gong gempar apabila ratusan ikan Selangat dan Tamban ditemukan terdampar di sepanjang pesisir pantai di kawasan itu kira-kira tiga kilometer.
Bangkai ikan yang terdampar juga mula mengeluarkan bau kurang menyenangkan dengan sebahagiannya dalam keadaan isi perut terburai. – UTUSAN