Ban pecah: Bimbang bah besar berulang

Ban pecah: Bimbang bah besar berulang

KEADAAN ban yang dibaik pulih selepas dilaporkan pecah kelmarin sehingga menyebabkan air Sungai Klang memasuki kawasan perumahan di Taman Sri Muda, Shah Alam, Selangor. - UTUSAN / ZULFADHLI ZAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Penduduk di Taman Sri Muda di sini, terus dihantui kebimbangan berulangnya banjir besar selepas ban di kunci pintu air pecah malam kelmarin setelah paras air Sungai Klang meningkat.

Paras sungai melepasi bahagian hujung ban sebelum menghakis permukaannya menyebabkan air dari Sungai Klang masuk ke kawasan Taman Sri Muda walaupun pintu air ditutup susulan hujan lebat lebih sejam petang kelmarin.

Seorang penduduk, Rosnah Tukor, 54, berkata, dia dan ahli keluarganya memindahkan beberapa barang keperluan rumah yang penting ke tingkat dua rumahnya, setelah mendapati anak sungai di kunci air semakin naik.

“Saya perasan air naik tinggi, sampai ke tebing kira-kira pukul 8 malam. Bila nampak air tinggi, saya dan anak-anak bawa naik televisyen, komputer riba, beberapa makanan dan lain-lain lagi ke tingkat dua rumah.

“Memang sangat takut bila nampak air naik kerana mengenangkan banjir yang kami sekeluarga alami Disember lalu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Jalan Srikandi 25/14 di sini, semalam.

Tinjauan Utusan Malaysia ke kawasan kunci air tersebut kira-kira pukul 12 tengah hari semalam mendapati, paras air sungai sudah surut berbanding kelmarin.

Sementara ban yang pecah itu sudah pun dibaiki oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor sejak malam tadi.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Nizam Ibrahim, 59, yang bimbang sekiranya berlaku banjir lagi telah menghubungi bomba kira-kira pukul 8 malam kelmarin.

“Alhamdulillah, bomba tiba kira-kira pukul 8.30 malam bagi melihat situasi sebenar di sungai tersebut. Kira-kira pukul 9 malam, kelibat beberapa kakitangan JPS dilihat melakukan kerja membaiki ban,” ujarnya.

Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan, limpahan air setinggi kira-kira 0.6 meter mengakibatkan ban di pintu kunci air berkenaan pecah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya