Babak 18SX: Kita sensitif atau kita hipokrit?

Babak 18SX: Kita sensitif atau kita hipokrit?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tidak dinafikan, adegan berunsur seks dalam filem dan drama akan selamanya dianggap tabu dalam masyarakat kita. Itu satu realiti yang tidak mungkin boleh diubah. Hal demikian kerana, kita bukan masyarakat Barat atau beberapa negara di Asia yang meraikan adegan-adegan seksual untuk tontonan umum.

Namun realitinya juga, dalam era teknologi masa kini, kandungan-kandungan seksual dan ‘kotor’ ini amat mudah diperoleh dan ditonton. Kalau tidak pun ditayangkan dalam drama atau filem tempatan, ia masih boleh dilihat menerusi kandungan-kandungan luar yang ditayangkan secara terbuka di platform digital seperti Netflix, Youtube dan sebagainya.

Lebih menakutkan lagi, apabila kandungan-kandungan seksual yang lebih teruk, seperti pornografi masih boleh dicapai, ditonton umum kerana ruang maya yang terbuka dan terlalu mudah diakses pada masa kini.

Jadi, adakah memadai untuk kita melalak dan menghentam kandungan dalaman, namun kandungan yang datang dari luar, yang lebih teruk lagi terus bebas ditonton semudah di hujung jari? Pancaindera terpanggil membincangkan isu ini. Apa kata penggiat seni? Ikuti dalam ruangan Hangat Seminggu, kali ini.

Kalau sadurkan budaya lain dalam cerita kita, mungkin tidak sesuai – Sabri Yunus

Pelakon bertaraf legenda, Sabri Yunus berpandangan adalah tidak wajar adegan-adegan berani yang bersifat seksual ditayangkan dalam sesebuah drama dan filem tempatan.

Ini kerana penggiat drama dan filem harus sedar bahawa adegan sedemikian rupa bukan sebahagian budaya dan cara hidup masyarakat kita yang masih membudayakan sifat malu dalam kehidupan harian mereka.
“Kalau orang luar yang paparkan adegan cumbu, peluk dan sebagainya, kita masih boleh terima sebab itu budaya mereka.

“Cerita ini tentang kita, orang Melayu. Kalau kita sadurkan budaya lain dalam cerita kita, mungkin tidak sesuai dan tentu sekali menjentik sensitiviti dalam masyarakat.

“Ada dalam kalangan orang kita yang suka tengok adegan sedemikian rupa. Itu hakikat. Tetapi ia akan terasa janggal dan pelik apabila dipaparkan dalam cerita kita kerana itu bukan budaya orang Melayu,” katanya.

Mengulas lanjut, Sabri berkata penggiat filem dan drama tempatan juga harus sedar bahawa meskipun masyarakat kita sudah moden, tetapi adat dan budaya masih terjaga.

Jadi katanya, tindakan memaparkan adegan-adegan tidak senonoh dan sensitif tentunya mengundang kecaman ramai.

“Nilai-nilai keagamaan sangat menebal dalam budaya kita. Itu sangat dijaga oleh masyarakat kita.

“Orang kita masih akan faham apabila tertonton atau menonton adegan cumbu, peluk yang dilakonkan pelakon luar. Kerana mereka tahu, itu budaya luar.

“Tetapi, apabila ia dilakonkan sendiri orang kita, apa reaksi mereka? Tentu mereka rasa sangat malu,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Sabri juga menasihatkan kepada penggiat filem dan drama agar peka serta berhati-hati dalam memainkan sentimen yang menyentuh sensitiviti masyarakat semata-mata untuk melariskan produk mereka.

“Pada saya pengkarya kita perlu bijak dan peka. Masyarakat kita masih menjaga nilai ketimuran.

“Orang luar ada cara mereka. Kenapa kita nak tiru? Kita tahu adegan seperti itu amat bertentangan dengan budaya kita. Dalam masyarakat pun sudah menular kandungan-kandungan seperti ini.

“Tetapi, sebagai orang seni, adakah kita nak mempromosikan lagi perkara-perkara tidak senonoh seperti itu?,” jelasnya.

Tambahnya, banyak lagi cara yang boleh dilakukan, yang lebih halus dan berseni untuk memaparkan adegan-adegan sedemikian.

Mungkin unsur seksual sebagai pelaris – Ain Sufia

Paparan adegan ranjang dalam karya drama atau pun filem tempatan, pasti menjadi tumpuan dan mengundang kritikan khalayak.

Bagi pelawak dan pelakon Ain Sufia, sebenarnya filem atau drama tempatan boleh sahaja menembusi pasaran luar negara tanpa ada adegan 18SX.

Katanya, Malaysia sahaja sudah kaya dengan elemen seni yang tiada di luar negara. Justeru, perkara itulah yang wajar ditonjolkan.

“Orang luar negara nak tengok adegan 18SX, baik mereka tengok filem sendiri. Lagi banyak pilihan dan tiada tapisan langsung.

“Bila tonton filem kita, sudah semestinya nak tengok benda yang mereka tiada bukan?

“Mungkin penggiat seni hiburan kita nak selitkan sedikit unsur seumpama itu demi melariskan filem atau pun drama dengan lebih cepat,” ujarnya.

 

Tambah Ain, masyarakat hari ini telah dinormalisasikan dengan kaedah perlu ada ‘barang’ panas atau tular untuk menarik perhatian penonton ambil peduli tentang karya mereka.

“Ibaratnya jika tiada isu panas, orang tidak hairan dengan produk kita. Ini kira jalan pintaslah. Orang putih kata bad marketing also a good marketing,” akhirinya.

Belajarlah tengok skop lebih besar – Elly Ariffin

Pelakon dan pengacara, Elly Ariffin pula berpendapat, perkembangan dunia teknologi juga boleh menjadi antara punca bagaimana seseorang individu itu cepat memberi respons untuk sesuatu isu sehingga terlupa untuk melihat dalam skop yang lebih besar.

Ia dapat dilihat pada trend sekarang yang mana, banyak video atau sedutan klip sengaja disebarkan secara separuh jalan sehingga kemudiannya mencetuskan banyak spekulasi liar di sebalik kecaman dan fitnah berleluasa di media sosial.

Kata pelakon ini, ia sebenarnya berbalik kepada individu atau penonton sendiri dalam membuat pilihan dan andaian sendiri yang kemudiannya mencerminkan ke mana arah mentaliti diri.

“Mungkin betul, itu adalah teknik pemasaran. Kenapa ada yang tergamak buat begitu? Apakah idea dan sebab produksi buat begitu? Saya percaya mereka bukan sesuka hati nak main langgar kerana orang yang bekerja dalam industri kreatif, otak mereka memang kreatif.

“Kreativiti itu tiada limitasi. Tetapi penonton juga bertanggungjawab, nak tonton dari sudut mana? Zaman sekarang, kita ini cepat melatah dengan benda-benda tular, yang orang tak tahu pun apa latar belakang isu dan cerita. Bahaya.

“Tapi bagusnya, ia seharusnya mendidik diri dan otak kita untuk belajar nampak gambaran keseluruhan. Bukan satu cabang saja. Saya tak kata benda ini okey, tetapi lihat pula diri, macam mana kita menerima sesuatu isu itu? Ia melambanglan mentaliti kita,”katanya.

Selain itu, kata Elly, dia juga percaya produksi-produksi tempatan sudah sedia maklum mengenai limitasi dalam penghasilan sesebuah babak atau jalan cerita kerana sejak dari dahulu semua akur terikat dengan adat, budaya dan agama.

“Bagaimanapun, secara peribadi, saya sendiri sebolehnya akan mengelak untuk melakukan adegan berunsur 18SX. Saya fikir diri dan keluarga. Ada air muka yang harus dijaga. Akan datang, jika sudah berkeluarga, suami dan anak-anak, cucu cicit semua tonton, macam mana?

“Sebab zaman teknologi, benda-benda begitu akan kekal ada di Internet. Zaman dulu, akhbar, majalah, boleh lah kita bakar. Sebolehnya kita kena elak perkara begini. Nak buat hantaran gambar di media sosial pun saya berhati-hati, bimbang mengundang imaginasi, ini kan pula visual bergerak,” katanya.

Janganlah ‘ghairah’ sangat nak popular – Fadilah Mansor

Bagi pelakon senior, Datin Fadilah Mansor, dia menasihatkan buat bakat-bakat baharu agar tidak terlalu ‘ghairah’ untuk popular segera dalam industri seni, sehingga mencemar nama baik sendiri.

Menurut pelakon drama Jangan Menangis Cinta itu, seandainya ditakdirkan diminta untuk melakukan adegan yang kurang sesuai, pelakon mempunyai hak untuk mengelak tidak melakonkan babak berkenaan.

“Saya sebagai pelakon lama yang masih belajar, tetapi yang sudah tahu selok belok dalam industri ini. Buat pelakon-pelakon baharu, janganlah ‘ghairah’ sangat nak popular, sanggup membuat apa sahaja.

“Jadi, fikirlah dan baca dahulu skrip. Kalau ditakdirkan apabila dia sudah membaca skrip, tiba-tiba diminta aksi tersebut, sendiri boleh fikir perkara itu elok atau tidak.

“Jangan salahkan orang sekeliling, disuruh atau sebagainya. Tidak, bukan terpaksa. Awak boleh elak sendiri,” katanya.

FADILAH MANSOR

Percaya kepada rezeki, seorang pelakon itu juga berhak menarik diri daripada pengambaran tersebut daripada menerima kecaman gara-gara melakonkan adegan yang kurang sesuai.

“Kalau diminta juga buat adegan yang bakal kontroversi, tarik diri. Rezeki ada di mana-mana. Kita pegang itu, bukannya kita terpaksa ikut dan akur sahaja terhadap arahan yang diberikan.
“Salah terletak pada diri sendiri. Ada akal dan fikiran yang Allah berikan, guna lah sebaiknya,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, isu yang berlaku baru-baru ini juga adalah kesalahan yang terletak pada pelakon sendiri kerana menerima adegan panas tersebut.

“Ia adalah berpunca daripada pelakon sendiri. Dia sudah tahu perkara itu akan menjadi kontroversi, kenapa lakukan dan terima juga adegan tersebut. Kesalahan terletak pada pelakon juga, bukan hanya produksi dan pengarah.

“Dia sudah tahu adegan berkenaan tidak boleh diterima dalam negara kita, tidak perlu lakukannya. Bila ada kontroversi seperti ini, harus terimalah segala kritikan dan menjawab dengan baik,” tuturnya panjang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya