PETALING JAYA: Golongan B40 disaran mengambil tahu status kesihatan masing-masing dan menjalani saringan kesihatan percuma menerusi program Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40).
Ketua Pegawai Eksekutif ProtectHealth Corporation Sdn Bhd (ProtectHealth), Anas Alam Faizli berkata, ini berikutan semua pihak sedia maklum wabak Covid-19 memberi kesan lebih parah kepada mereka yang mempunyai penyakit tidak berjangkit.
“Kementerian Kesihatan (KKM) melalui program PeKA B40 yang ditadbir oleh ProtectHealth menyediakan saringan kesihatan percuma kepada semua golongan B40 dan penerima BPR,” katanya menerusi Twitter, semalam.
Menurut Anas Alam, program PeKa B40 tersebut juga menyediakan manfaat kepada semua golongan B40 yang merangkumi manfaat alat bantuan perubatan, insentif melengkapkan rawatan kanser dan insentif pengangkutan.
“PeKA B40 juga mempunyai manfaat alat bantuan perubatan hingga RM20,000 untuk setiap individu. PEKA juga mempunyai manfaat insentif melengkapkan rawatan kanser hingga RM1,000 kepada semua individu
“Manfaat terakhir ialah insentif pengangkutan kepada semua golongan B40 yang sudah melengkap saringan PeKA B40. Jadi ambil tahu status kesihatan anda. Dapatkan saringan kesihatan percuma PeKA B40 segera,” ujarnya.
Media sebelum ini melaporkan, Kementerian Kesihatan merancang menetapkan satu bulan sebagai Bulan Pemeriksaan Kesihatan Malaysia (BPKM) dengan cadangan awal diadakan pada Julai depan.
Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, masih ramai tidak dapat memanfaatkan program yang disediakan secara percuma kepada penerima bantuan sara hidup kerajaan yang berusia 40 tahun ke atas membabitkan ketua keluarga dan pasangan. – UTUSAN