Arwah Amran Tompel sempat ajak anak keluar makan

Arwah Amran Tompel sempat ajak anak keluar makan

JENAZAH Amran Tompel dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Forest Heights, Senawang, Seremban, Negeri Sembilan. - UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Pelakon dan pelawak, Amran Tompel, 72, sempat mengajak keluarganya keluar makan bersama, baru-baru ini sebelum meninggal dunia petang kelmarin.

Anak kedua Allahyarham, Shafiq Amran, 28, berkata, namun hasrat itu tak kesampaian kerana dia sudah terlantar ekoran masalah kesihatan sejak beberapa tahun lalu.

“Walaupun dalam keadaannya terlantar itu, baru-baru ini secara tiba-tiba dia ada mengajak kami sekeluarga keluar makan bersama-sama. Dua tiga hari ini keadaan arwah memang nampak lemah dan memang tidak selera makan,” katanya ketika ditemui selepas majlis pengkebumian pelakon itu di Tanah Perkuburan Islam Forest Heights, Senawang di sini malam semalam.

Allahyarham adalah anak kepada pelakon, pelawak dan pengarah Allahyarham AR Tompel bersama pelakon, P. Suriati.

Amran atau nama penuhnya Amran Aman Ramlie sebelum ini dilaporkan pernah beberapa kali diserang angin ahmar termasuk mengalaminya ketika di peringkat awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Allahyarham yang meninggal dunia kira-kira pukul 4.43 petang kelmarin sebelum jenazahnya dibawa ke Masjid Bandar Baru Senawang di sini untuk urusan solat jenazah.

Bekas isteri Allahyarham, Anas Salmee Syed Mohammad, 53, berkata, Amran meninggal dunia di rumahnya di Taman Matahari Height, Senawang selepas beberapa tahun terlantar akibat diserang beberapa penyakit seperti angin ahmar, kencing manis dan darah tinggi.

“Sejak beberapa hari lalu arwah tiada selera makan. Saya ada nampak dia lain dan tidak banyak bercakap. Ketika kejadian, saya sedang memasak manakala anak saya, Suhaili sedang berada di ruang tamu.

“Suhaili kemudian memberitahu arwah sudah tiada dan saya kemudian pegang tangan arwah sudah sejuk,” katanya ketika ditemui.

Turut kelihatan hadir pada majlis pengebumian tersebut ialah adik beradik Allahyarham, pelakon terkenal AR Badul dan Adlin Aman Ramlie. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya