TUMPAT: Kelonggaran diberi kerajaan sepanjang tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) dimanfaatkan sekumpulan wanita di Kampung Jal Kechik di sini untuk mencari rezeki dengan cara menganyam buluh.
Menggunakan kepakaran masing-masing, kumpulan tersebut menghasilkan berpuluh-puluh bakul, tudung saji, nyiru, dulang serta pelbagai barangan hiasan berasaskan buluh.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, ibu tunggal, Nurizan Hamzah, 57, berkata, menganyam buluh untuk dijadikan produk kraftangan adalah aktiviti tradisi penduduk kampung itu sejak turun-temurun.
Katanya, aktiviti tersebut terhenti seketika dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana mereka tidak dibenarkan berkumpul beramai-ramai selain tidak dapat keluar mencari bekalan buluh.
“Selepas kerajaan memberi kelonggaran membenarkan rakyat keluar rumah dan melakukan aktiviti berkumpul, peluang ini direbut untuk kami kembali mencari rezeki membuat anyaman buluh.
“Dalam sebulan saya mampu menghasilkan 15 barangan dengan pendapatan kira-kira RM300. Ini sudah memadai bagi saya untuk belanja harian kerana tiga anak saya sudah dewasa dan bekerja,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Kata Nurizan, dia belajar menganyam buluh sejak di bangku sekolah namun hanya mula memanfaatkan kepakaran itu untuk mencari rezeki selepas arwah suaminya meninggal dunia, enam tahun lalu.
Rohaya Awang, 50, pula berkata, kebiasaannya, mereka keluar rumah mencari buluh dalam hutan pada sebelah pagi sebelum berkumpul beramai-ramai menganyam buluh pada sebelah petang.
Katanya, pelbagai barangan yang sudah siap dianyam tersebut kemudian diserahkan kepada Ketua Operasi Pusat Pengumpulan Barangan Anyaman Buluh, Razali Ismail untuk dipasarkan.
“Urusan bayaran dibuat segera sebaik sahaja barangan kraftangan yang kami hasilkan diserahkan kepada Razali,” katanya. – UTUSAN